ALOR SETAR: Kemenangan ke atas Terengganu FC membuktikan bahawa pemain-pemain Kedah Darul Aman (KDA) FC masih memiliki ‘jiwa’ untuk bermain bola sepak walaupun dihimpit 1,001 masalah akibat ketiadaan gaji selama tujuh bulan.
Keputusan itu juga memberi isyarat jelas kepada penyokong-penyokong Sang Kenari untuk terus datang ke stadium bagi memberi sokongan manakala untuk pihak pengurusan pula, diharap lebih giat berusaha mencari jalan untuk keluar daripada situasi yang perit ini.
Keadaan yang dihadapi pemain-pemain KDA FC cukup perit untuk digambarkan namun mereka masih mampu menunjukkan sikap profesional dan bersungguh-sungguh menjaga nama Kedah untuk terus berada dalam peta bola sepak tempatan.
Ketua Jurulatih KDA FC, Nafuzi Zain mengakui terharu melihat para pemain berjuang memberikan segala yang terdaya meskipun menghadapi bebanan kewangan.
Katanya, tiada apa diharapkan ketika ini melainkan sokongan pelbagai pihak supaya masalah tunggakan gaji segera diselesaikan ketika para pemain sudah menunaikan tanggungjawab mereka dengan cemerlang walaupun dalam keadaan sukar.
“Dalam keadaan ini, dapat lihat pemain turun berlatih pun sudah menjadi nikmat besar buat saya. Malam ini(kelmarin) mereka beraksi tetapi untuk perlawanan seterusnya, belum tahu lagi dan harapan saya cukup besar agar semua masalah ini diselesaikan segera.
“Sebelum berdepan Terengganu pun, pemain harap ada sesuatu yang positif tetapi masih tiada apa-apa. Saya faham kedudukan pemain dan pengurusan tetapi harapnya dengan apa ditunjukkan pemain ini, semua pihak dapat memberi sokongan serta bantuan kerana situasinya memang amat sukar,” katanya.-UTUSAN