PETALING JAYA: Beregu wanita No. 1 negara, Pearly Tan-M. Thinaah berjaya meloloskan diri ke pusingan kedua Terbuka Denmark 2024 di Arena Jyske Bank, sebentar tadi.
Turun selaku pilihan kelima, mereka memerlukan 1 jam dan 14 minit untuk menyingkirkan gandingan bukan pilihan dari India, Treesa Jolly-Gayatri Gopichand Pullela, 19-21, 21-17, 21-15.
Naib juara Terbuka Arctic 2024 minggu lalu itu seterusnya akan menentang Lee Yu Lim-Shin Seung Chan dari Korea Selatan untuk penentuan ke suku akhir, esok.
Sementara itu, nasib tidak menyebelahi pemain perseorangan lelaki, Leong Jun Hao apabila tewas kepada jaguh Indonesia, Jonatan Christie pada perlawanan pertama di Gelanggang 2, petang tadi.
Jun Hao terpaksa akur dengan pemain pilihan keempat itu selepas tewas menerusi straight set 21-16, 21-14. – UTUSAN