PETALING JAYA: Beregu No. 1 wanita negara, Pearly Tan-M. Thinaah berjaya melangkah ke perlawanan akhir Terbuka Arctic 2024, sebentar tadi.
Bagaimanapun pasangan No. 7 dunia itu terpaksa bermandi peluh untuk menyingkirkan gandingan dari Jepun, Rin Iwanaga-Kie Nakanishi dalam permainan 1 jam dan 42 minit.
Pearly-Thinaah pada akhirnya melakar kemenangan menerusi permainan tiga set, 21-19, 19-21, 26-24 untuk menghampiri gelaran kedua Jelajah Persekutuan Badminton Dunia (BWF) musim ini.
Gandingan negara itu seterusnya akan bertemu antara pasangan China, Liu Sheng Shu-Tan Ning yang merupakan pasangan No. 2 dunia atau Li Yi Jing-Luo Xi Min pada aksi akhir esok.
Untuk rekod, Pearly-Thinaah mengungguli Terbuka Hong Kong 2024 selain menjadi naib juara pada Terbuka Korea 2024, September lalu. – UTUSAN