PBB gesa Majlis Keselamatan sokong usaha lindungi orang awam Sudan - Utusan Malaysia

PBB gesa Majlis Keselamatan sokong usaha lindungi orang awam Sudan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW YORK: Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres menggesa Majlis Keselamatan PBB untuk menyokong usaha melindungi orang awam di Sudan yang dilanda perang.
Namun, beliau menegaskan keadaan sekarang tidak sesuai untuk penempatan pasukan PBB.

“Rakyat Sudan kini hidup dalam mimpi ngeri keganasan, dengan ribuan orang awam terbunuh, dan ramai lagi menghadapi kekejaman, termasuk kes rogol dan serangan seksual yang meluas,” kata Guterres.

Perang tercetus pada pertengahan April, tahun lalu, akibat perebutan kuasa antara tentera Sudan dan pasukan separa tentera Rapid Support Forces (RSF) sebelum peralihan ke pemerintahan awam yang dirancang, menyebabkan krisis pelarian terbesar di dunia.

“Sudan sekali lagi menjadi mimpi ngeri keganasan etnik besar-besaran,” tambah Guterres, merujuk kepada konflik di Darfur sekitar 20 tahun lalu yang membawa kepada dakwaan genosid dan jenayah kemanusiaan terhadap bekas pemimpin Sudan oleh Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).

Perang semasa mencetuskan gelombang keganasan berasaskan etnik, kebanyakannya didakwa dilakukan oleh RSF.

Jumaat lalu, aktivis melaporkan RSF membunuh sekurang-kurangnya 124 orang di sebuah kampung di Negeri El Gezira, salah satu insiden paling berdarah dalam konflik ini.

RSF sebelum ini menafikan penglibatan dalam tindakan terhadap orang awam di Sudan, menyalahkan kegiatan tersebut kepada pelaku bebas.

Guterres mengakui desakan kumpulan hak asasi manusia di Sudan untuk tindakan lebih tegas melindungi orang awam, termasuk cadangan penempatan pasukan neutral.

Namun, beliau menyatakan tidak sesuai untuk penempatan pasukan PBB bagi melindungi orang awam di Sudan, buat masa sekarang ini.

“Pendekatan baharu mungkin diperlukan, yang disesuaikan dengan keadaan konflik ini,” ujarnya lagi. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya