Parti pemerintah Jepun hilang majoriti - Utusan Malaysia

Parti pemerintah Jepun hilang majoriti

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TOKYO : Parti pemerintah Jepun, Parti Liberal Demokratik (LDP) hilang majoriti di Parlimen menerusi kekalahan besar pada pilihan raya nasional semalam.

Kekalahan itu sekali gus meningkatkan ketidaktentuan terhadap pembentukan kerajaan baharu serta masa depan ekonomi keempat terbesar dunia.

Parti pimpinan Perdana Menteri, Shigeru Ishiba, yang menguasai Jepun sejak era pasca-perang, hanya memperoleh 215 kerusi dalam Dewan Rendah Parlimen, menurut siaran NHK.

Angka itu jauh lebih rendah daripada 279 kerusi yang dipegang sebelum ini, menandakan keputusan paling buruk gabungan tersebut sejak kali terakhir kehilangan kuasa pada 2009.

Pemenang terbesar dalam pilihan raya kali ini ialah parti pembangkang utama, Parti Demokratik Perlembagaan Jepun (CDPJ), yang meraih 148 kerusi, meningkat daripada 98 kerusi, apabila pengundi menghukum parti Ishiba berikutan skandal dana serta inflasi yang melanda.

Keputusan ini mungkin memaksa parti-parti lain untuk menjalin kerjasama perkongsian kuasa yang rumit, yang berpotensi membawa kepada ketidakstabilan politik ketika Jepun berdepan cabaran ekonomi serta situasi keselamatan yang tegang di Asia Timur.

“Ini bukan pengakhiran, tetapi permulaan,” kata ketua CDPJ, Yoshihiko Noda, dalam siding akhbar, sambil menambah partinya akan bekerjasama dengan parti-parti pembangkang lain untuk mengubah pemerintahan.

Pilihan raya mengejut ini diadakan selepas Ishiba dipilih mengetuai parti bulan lalu, dengan harapan memperoleh mandat awam bagi kepemimpinannya.

Pendahulunya, Fumio Kishida, meletak jawatan setelah sokongannya merosot akibat kemarahan rakyat berhubung kenaikan kos sara hidup serta skandal berkaitan derma tidak direkodkan kepada ahli Parlimen.

Pakar Ekonomi di Universiti Yamanashi, Prof. Masafumi Fujihara berkata, nilai yen jatuh ke paras terendah dalam tempoh tiga bulan dan pasaran saham Jepun dijangka merosot, manakala, hasil bon kerajaan berjangka panjang dilihat meningkat apabila pelabur bertindak balas terhadap ketidaktentuan ini.

“Lanskap politik yang lebih cair akan menyukarkan pelaksanaan dasar ekonomi, termasuk kenaikan cukai untuk perbelanjaan pertahanan,” katanya. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya