[Parlimen] 108 kanak-kanak diselamatkan dari GISBH alami kecelaruan kognitif

[Parlimen] 108 kanak-kanak diselamatkan dari GISBH alami kecelaruan kognitif

NANCY SHUKRI. IHSAN/JABATAN PENERANGAN MALAYSIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seramai 108 kanak-kanak yang diselamatkan daripada ‘cengkaman’ GISB Holdings Sdn. Bhd. (GISBH) mengalami masalah kecelaruan kognitif yang teruk dan sederhana.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, perkara tersebut didapati melalui profiling awal yang dijalankan ke atas 558 kanak-kanak yang kini berada di bawah perlindungan dan penjagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Kata beliau, lebih 90 peratus kanak-kanak tersebut mengaku masih mempunyai sekurang-kurangnya seorang ibu atau bapa kandung, manakala selebihnya tidak mempunyai atau tiada maklumat mengenai orang tua mereka.

“Penilaian kognitif awal kanak-kanak dilakukan ke atas 385 kanak-kanak berumur tujuh tahun ke atas. Daripada jumlah itu, lebih kurang 71.95 peratus atau 277 orang daripada mereka tidak menunjukkan kecelaruan kognitif.

“Namun, 20.26 peratus atau 78 orang menunjukkan mengalami masalah kecelaruan kognitif yang sederhana manakala 7.79 peratus (30 orang) lagi mengalami kecelaruan kognitif yang teruk,” katanya ketika Sesi Penerangan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Mengulas lanjut, Nancy berkata, kesemua 560 kanak-kanak yang berada di bawah JKM itu masih diperlukan untuk siasatan lanjut oleh pihak berkuasa.

Bagaimanapun katanya, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KWPKM) mahu supaya kanak-kanak yang menjadi mangsa itu kembali ke pangkuan keluarga.

“Namun, sebelum ia boleh direalisasikan, pelbagai perkara perlu dinilai dan dipertimbangkan. Ini semua bukanlah untuk menidakkan hak mana-mana pihak, tetapi ia adalah demi kepentingan terbaik kanak-kanak itu.

“Dalam hal ini, KPWKM telah merangka hala tuju yang komprehensif berdasarkan prinsip kerja sosial terhadap kanak-kanak ini dengan perancangan tertentu berdasarkan peruntukan 10 perundangan yang meliputi beberapa kategori kanak-kanak,” katanya.

Jelasnya, bagi kanak-kanak mempunyai ibu bapa, penjaga atau waris, mereka akan dikembalikan selepas siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendapati mereka tidak diabai mahupun didera serta tidak memerlukan pemeliharaan dan perlindungan.

Sebaliknya katanya, sekiranya situasi berbeza berlaku maka permohonan akan dibuat untuk meletakkan kanak-kanak terbabit di bawah pemeliharaan dan penjagaan JKM di bawah Perenggan 30(1)(d) Akta Kanak-Kanak.

“Bagi kanak-kanak yang tidak mempunyai ibu, bapa atau penjaga atau gagal dikesan, maka tindakan meletakkan kanak-kanak itu secara sementara di suatu tempat selamat atau Orang Yang Layak dan Sesuai (OYLS) selama tempoh yang dinyatakan oleh mahkamah mengikut Perenggan 30(1)(c) akan dilaksanakan.

“Selain itu, Mahkamah Bagi Kanak-Kanak juga boleh mengenakan apa-apa syarat atau apa-apa arahan yang difikirkan sesuai bagi maksud memastikan keselamatan dan kesejahteraan kanak-kanak termasuk ibu bapa atau penjaga mengikut peruntukan Subseksyen 30(8),” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya