Nafuzi sebak kenang nasib pemain, terima kasih terus berjuang

Nafuzi sebak kenang nasib pemain, terima kasih terus berjuang

PEMAIN KDA FC ketika ini difahamkan berdepan masalah tunggakan haji yang mencecah tujuh bulan.-IHSAN KDA FC
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Kejayaan meraih tiga mata setelah menundukkan Terengganu FC (TFC) 1-0 di Stadium Darul Aman, disambut dengan linangan air mata oleh pengendali Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Nafuzi Zain sebaik berakhir perlawanan itu.

Nafuzi mengakui terharu melihat para pemain berjuang memberikan segala yang terdaya meskipun dalam keadaan mereka dihimpit 1,001 masalah akibat ketiadaan gaji selama tujuh bulan.

Katanya, tiada ungkapan mampu dilafazkan bagi menggambarkan rasa terima kasih beliau kepada pemain yang menampilkan sikap sangat profesional dan bersungguh-sungguh dalam menjaga nama bola sepak Kedah.

“Kita dapat lihat pemain memberikan segalanya walaupun masing-masing tahu, situasi kini amat sukar. Persediaan kita tidak sempurna dalam tempoh dua bulan terakhir ini terutamanya dari segi latihan tetapi kita tetap meraih tiga mata menentang lawan yang kuat.

“Saya tak mampu membalas jasa mereka dan amat berbangga dengan karakter ditunjukkan. Hanya kami yang tahu bagaimana berdepan situasi ini kerana di luar padang, kami lebih banyak bercerita mengenai penyelesaian masalah dihadapi setiap individu berbanding berkaitan bola sepak.

“Jadi apabila dapat tiga mata, saya amat terharu dan sedih mengenangkan nasib mereka. Bukan soal menang dengan TFC atau mana-mana pasukan tetapi ini adalah kisah mengenai semangat juang ditampilkan pemain,” katanya.

Jaringan tunggal tonggak pertahanan, Cleylton Santos pada masa tambahan separuh masa pertama memberi kemenangan buat anak-anak buah Nafuzi, biarpun TFC bersungguh-sungguh melakukan serangan pada separuh masa kedua.

Nafuzi berkata, deretan kecederaan dan kekejangan dialami pemain selepas minit ke-70 menunjukkan betapa mereka memberikan segalanya untuk menyaingi TFC walaupun ketinggalan dari aspek kekuatan fizikal serta mental.

“Sejujurnya untuk dua bulan terakhir ini, pemain banyak terlepas latihan akibat masalah masing-masing. Untuk perlawanan ini pun, kami berlatih hanya dalam tempoh dua minggu melibatkan kira-kira 10 sesi saja dan persediaan sebegitu memang tak cukup untuk berdepan pasukan serta pemain berkualiti seperti dimiliki TFC.

“Dalam keadaan tidak sempurna itu, pemain bekerja keras sebagai satu unit untuk menentang lawan. Saya kenal majoriti pemain TFC kerana pernah melatih mereka dan kami buat keputusan agar pemain perlu lebih banyak guna akal untuk menggerakkan bola daripada bersaing secara fizikal,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya