PETALING JAYA: Kementerian Luar belum dapat mengesahkan mengenai penularan maklumat mengenai penemuan Mykad dan lesen memandu rakyat negara ini di medan pertempuran di Levadne, Zaporizhia, Ukraine.
Wisma Putra berkata, pihaknya masih berusaha untuk mengesahkan perkara tersebut dengan pihak berkuasa di Ukraine.
“Kami dengan hormatnya memohon pihak media dan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kata kenyataan itu, Wisma Putra ingin menekankan bahawa keselamatan rakyat Malaysia di luar negara adalah tanggungjawab masing-masing.
“Walaupun pejabat Perwakilan Malaysia sentiasa bersedia untuk memberikan bantuan konsular kepada rakyat negara ini yang memerlukan, adalah penting semua rakyat Malaysia untuk mengambil langkah berjaga-jaga dan memastikan keselamatan diri masing-masing,” jelasnya.
Sementara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga sedang menyemak kesahihan maklumat penemuan Mykad dan lesen memandu didakwa milik rakyat negara ini.
“Buat masa ini PDRM sedang menyemak sama ada ia benar atau sebaliknya dan kita juga berhubung dengan Kementerian Luar bagi mendapatkan maklumat,” katanya
Terdahulu, tular sekeping gambar yang menunjukkan dokumen pengenalan diri Mykad dan lesen memandu rakyat Malaysia yang didakwa ditemukan di medan pertempuran antara Ukraine dan Rusia.
Ia didakwa ditemukan selepas kejayaan tentera Russia menawan kubu tentera Ukraine di Levadne, Zaporizhia. – UTUSAN