SEOUL: Seorang model fesyen berusia 81 tahun dari Korea Selatan menjadi peserta tertua Miss Universe selepas menyertai pertandingan kebangsaan negara itu dengan menentang pesaing-pesaing yang cukup muda yang layak menjadi cucunya.
Peserta yang dikenali sebagai Choi Soon-hwa, model berambut perak itu melangkah anggun di atas pentas dalam sepersalinan gaun putih berhiaskan manik dan turut menyertai pertandingan menyanyi di pertandingan Miss Universe Korea yang diadakan pada Isnin lalu, di sebuah hotel berhampiran Ibu kota Korea Selatan, Seoul.
Walaupun gagal meraih mahkota, Choi berjaya membawa pulang anugerah ‘pakaian terbaik’.
Choi, yang merupakan bekas pekerja penjagaan hospital dan memulakan kerjaya modelnya pada usia 70-an, diumumkan sebagai finalis Miss Universe Korea awal bulan ini bersama 31 peserta lain.
“Walaupun pada usia ini, saya berani untuk mengambil peluang dan menghadapi cabaran.
“Saya ingin orang melihat saya dan menyedari anda boleh hidup dengan lebih sihat dan menemui kebahagiaan dalam hidup apabila anda mencari perkara yang ingin anda lakukan dan mencabar diri untuk mencapai impian tersebut,” katanya kepada media beberapa jam sebelum pertandingan.
Sebelum ini, adalah mustahil bagi Choi untuk bertanding dalam pertandingan ini kerana Miss Universe mengehadkan penyertaan kepada wanita berumur antara 18 hingga 28 tahun.
Namun, had umur itu yang telah lama menerima kritikan, diangkat tahun ini sebagai sebahagian usaha untuk menjadikan pertandingan lebih moden dan penuh kepelbagaian.
Penganjur pertandingan di Korea juga telah menghapuskan pertandingan pakaian mandi dan syarat kelayakan berkaitan tahap pendidikan, ketinggian dan kebolehan bahasa asing untuk membuka peluang kepada lebih ramai wanita.
Han Ariel, seorang pelajar sekolah fesyen berusia 22 tahun, memenangi pertandingan tersebut dan akan mewakili Korea Selatan ke Mexico City untuk pertandingan Miss Universe ke-73 pada bulan November ini. -AGENSI