Malaysia pertimbang, beri keutamaan pekerja Bangladesh hilang peluang - Utusan Malaysia

Malaysia pertimbang, beri keutamaan pekerja Bangladesh hilang peluang

FB ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia akan memberi keutamaan kepada permohonan pekerja Bangladesh yang kehilangan peluang akibat perkembangan politik di negara mereka.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Kerajaan Bangladesh membuat rayuan kepada Malaysia  untuk menambah pengambilan pekerja dan golongan profesional negara itu.

“Sudah pasti saya akan memberikan pertimbangan utama itu, sekurang-kurangnya pada fasa pertama, tertakluk pada semua syarat dipenuhi, perkara ini boleh dilaksanakan secepat mungkin,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar bersama Ketua Penasihat Kerajaan Sementara Bangladesh, Muhammad Yunus selepas pertemuan dua hala, semalam.

Perdana Menteri melakukan lawatan sehari dan ia yang pertama oleh ketua kerajaan asing sejak pembentukan kerajaan interim yang diketuai oleh Muhammad.

Mengenai pelaburan, Anwar berkata, kedua-dua negara perlu memberi keutamaan kepada syarikat-syarikat pelaburan serta memastikan sebarang masalah ditangani dengan pantas dan telus.

“Di Malaysia, fokus kami adalah tadbir urus, antirasuah dan asas ekonomi, kami tidak berkompromi terhadap hal ini kerana kami tidak perlu mengaitkan pemimpin politik dengan pengumpulan kekayaan yang memanfaatkan diri, keluarga atau kroninya.

“Justeru, saya faham walaupun kami mahu syarikat Malaysia beroperasi di sini (Bangladesh) diberi pertimbangan sewajarnya, saya tidak akan berkompromi terhadap isu ketelusan dan usaha wajar dalam proses ini,” katanya.

Perdana Menteri berkata, kedua-dua negara juga akan melihat kepada usaha meningkatkan kerjasama dalam bidang pendidikan tinggi, ekonomi halal, dan industri semikonduktor.

“Kita boleh mempercepat rundingan dan aturan perdagangan, tetapi yang penting ialah mengadakan mesyuarat suruhanjaya bersama secepat mungkin,” jelasnya.

Sementara itu, Muhammad berkata, Dhaka menantikan mesyuarat itu pada awal tahun depan untuk meningkatkan perdagangan dua hala.

”Bidang kerjasama masa depan boleh merangkumi kewangan termasuk dana kekayaan negara, dana pencen, dana ekuiti swasta, kesihatan, pendidikan, sains data dan kecerdasan buatan” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya