LTdL 2024: Syawal tunai janji di laman sendiri

LTdL 2024: Syawal tunai janji di laman sendiri

MUHAMMAD Syawal Mazlin ketika menemui ibunya sejurus tamat perlumbaan peringkat ketiga dari Taiping ke Cameron Highlands, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CAMERON HIGHLANDS: Pelumba Malaysia Pro Cycling (MPC), Muhammad Syawal Mazlin berjaya menunaikan janjinya untuk mencipta ‘sesuatu’ di kampung halamannya apabila menjadi pelumba pertama negara melintasi garisan penamat peringkat ketiga Le Tour de Langkawi (LTdL) 2024, hari ini.

Perlumbaan sejauh 170.3 kilometer (km) dari Taiping ke Cameron Highlands itu menyaksikan pelumba berusia 20 tahun itu berjaya menduduki tempat ke-44 daripada 127 pelumba pada peringkat ‘Queen Stage’ berkenaan sekali gus menjamin kedudukan keseluruhannya di tangga ke-46 dengan catatan 10:08.52 saat (s).

Menurut pelumba berasal dari Brinchang, beliau mengekori pelumba pasukan WorldTeam sehingga 30km terakhir dan pada akhirnya terpaksa akur dengan kehebatan luar biasa barisan pakar pendakian terbaik dari Eropah serta Amerika Selatan.

“Lagi beberapa kilometer menuju ke garisan penamat mereka sudah berada pada tahap lain. Saya belum sampai ke tahap itu.

“Bagaimanapun, saya tetap memberikan tentangan kerana tahu selok-belok tempat ini,” kata Syawal kepada pemberita sejurus tamat perlumbaan peringkat ketiga, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Syawal turut mendedahkan beliau sangat mahir dengan laluan di sepanjang Cameron Highlands ini dan mengetahui lokasi yang sesuai untuk menyimpan tenaga.

“Saya sangat bersyukur impian dari kecil tercapai untuk menyertai perlumbaan LTdL. Lagi-lagi di tempat sendiri.

“Memang mencabar juga daripada seorang pelumba basikal bukit ke basikal lebuh raya cuma untungnya rangkanya lebih ringan sedikit. Beban tidak berat sangat cuma laju sahaja,” kata Syawal.

Syawal yang kehilangan Allahyarham datuknya, tiga hari sebelum LTdL 2024 berkata beliau membawa semangatnya untuk datang ke sini (LTdL).

“Selepas melintasi garisan penamat, perasaan saya bercampur baur. Allah lebih sayangkan dia (arwah datuk),” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya