MELAKA: Cuaca hujan lebat tidak mematahkan semangat pakar pecut Tudor Pro Cycling, Arvid De Kleijn untuk bergelar juara pada perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2024 peringkat keempat dari Kuala Lumpur ke Melaka, hari ini.
Beliau yang terkenal dengan gelaran ‘Little Gorilla’ itu dilihat sudah membiasakan diri dalam keadaan cuaca hujan panas di Malaysia mencatatkan masa 3 jam 35 minit 30 saat (s) dalam perlumbaan sejauh 167.3 kilometer (km) itu.
Tempat kedua menyaksikan Matteo Malucelli dari JCL Team UKYO terpaksa berpuas hati dengan kedudukan semalam, manakala carta ketiga menjadi milik Raja Pecut peringkat pertama lalu dari Astana Qazaqstan Team, Gleb Syritsa.
Permusuhan De Kleijn dan Malucelli diteruskan dengan perebutan Jersi Jingga (Raja Pecut), namun Malucelli mendahuluinya dengan kelebihan satu mata (46 mata).
Jersi Polka Dot (Raja Bukit) kekal milik pelumba Burgos-BH, Mario Aparicio dengan mengumpul 27 mata, diikuti Max Poole dari dsm-firmenich PostNL (22 mata) dan Anthon Charmig dari Astana Qazaqstan Team (22 mata).
Manabu Ishibashi dari JCL Team UKYO kekal menyarungkan Jersi Putih (Terbaik Asia) dengan catatan 16:35:22s diikuti Keigo Kusaba (Aisan Racing Team) di carta kedua, 16:37:59s.
Saingan peringkat keenam esok dijadualkan berlangsung di Batu Pahat dan berakhir di Kulai dengan jarak sejauh 123.4km yang menawarkan tiga zon pecutan di Senggarang, Rengit dan Bukit Batu.