BENTONG: Susulan prestasi hambar di Cameron Highlands semalam, pakar pecut Tudor Pro Cyling Team, Arvid De Kleijn bergelar juara pada saingan peringkat keempat Le Tour de Langkawi (LTdL) 2024 dari Kuala Kubu Bharu ke Bentong, hari ini.
Beliau yang terkenal dengan gelaran ‘Little Gorilla’ itu tiba di garisan penamat dengan catatan dua jam 53 minit 37 saat (s), mengetepikan juara peringkat kedua, Matteo Malucelli dari Team JCL Team UKYO.
Carta ketiga menyaksikan pelumba Team Polti Kometa, Manuel Penalver dalam penamat beramai-ramai ketika cuaca mendung.
Sementara itu, Jersi Hijau (pendahulu keseluruhan) kekal menjadi milik pelumba Team dsm-firmenich PostNL, Max Poole (12:57:35s) selepas menawan Cameron Highlands semalam, diikuti Thomas Pesenti dari JCL Team UKYO (0:06s).
Biarpun sekadar menjadi naib juara hari ini, Malucelli masih mempertahankan jersi jingga selaku Raja Pecut dengan mengumpul 34 mata, diikuti De Kleijn (30 mata) dan pelumba Astana Qazaqstan Team, Gleb Syritsa (26 mata).
Dalam pada itu, pelumba Burgos-BH, Mario Aparicio yang menawan zon pendakian Cat 1 di Gunung GAP berjaya merampas Jersi Polka Dot daripada Poole selepas mengumpul 20 mata.
Pelumba JCL Team UKYO, Manabu Ishibashi mengekalkan jersi putih (Terbaik Asia) dengan masa keseluruhan 12:59:44s, meninggalkan rakan sepasukan, Yuma Koishi (2:41s) dan ketiga diisi pelumba Aisan Racing Team, Keigo Kusaba (2:45s).
Saingan peringkat kelima dijadualkan berlangsung hari ini dari Kuala Lumpur ke Melaka dengan jarak perlumbaan sejauh 167.3km. – UTUSAN