PETALING JAYA: Bekas pemain beregu campuran negara, Goh Liu Ying menggesa supaya pasangan wanita utama Malaysia, Pearly Tan-M. Thinaah untuk peka ke atas mental dan fizikal mereka.
Pemenang pingat perak Olimpik Rio 2016 itu berkata, keletihan daripada jelajah Eropah yang berterusan menyebabkan mereka tewas di perlawanan suku akhir Terbuka Denmark di Odense, Jumaat lalu.
“Mereka harus peka dengan badan mereka dengan baik. Peringkat separuh akhir dan final acara Super 500 hingga 1000 amat sukar.
“Sekiranya bermain sehingga ke peringkat itu sudah tentu mereka kesuntukan masa untuk pulih dari segi mental dan fizikal,” kata Liu Ying.
Pearly-Thinaah kini berada ranking No. 5 untuk layak ke kejohanan Jelajah Dunia Akhir Persekutuan Badminton Dunia (BWF) dan hanya lapan pasangan teratas yang layak ke pertandingan tersebut.
Sementara itu, Liu Ying menegaskan pasangan No. 7 dunia itu harus melangkau sekurang-kurangnya dua kejohanan untuk berehat dan pulih daripada jadual padat di jelajah Eropah, baru-baru ini.
Menurutnya, Pearly-Thinaah masih boleh layak ke Jelajah Dunia Akhir kerana mata ranking mereka sukar dipintas.
“Sekiranya mereka sudah melakukan terbaik untuk layak ke jelajah itu, mereka harus melangkau dua kejohanan untuk mendapat rehat yang secukupnya untuk mengelak kecederaan.
“Sebagai 10 pasangan terbaik, saya fikir mereka harus bermain dalam Super 750 dan 1000 namun mereka masih boleh melangkau acara lain kerana mereka pasti layak ke Jelajah Dunia Akhir,” katanya.
Jelajah Dunia Akhir BWF dijadualkan akan bermula pada 11 hingga 15 Disember ini di Hangzhou, China.-UTUSAN