KLUANG: Seorang anggota tentera maut selepas bertarung nyawa kira-kira lima jam ketika mendapatkan rawatan akibat kemalangan di Kilometer 3, Jalan Kluang-Nyior berhampiran Taman Pelangi di sini.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd. Noh berkata, kemalangan berlaku pukul 10.04 malam semalam melibatkan anggota tentera, Yuskhairi Zailani, 37, yang menunggang motosikal Yamaha Ego LC dan sebuah kereta Honda Civic dipandu Lim Chee Keong, 37.
Katanya, siasatan awal mendapati kejadian berlaku ketika mangsa dalam perjalanan dari bandar Kluang menuju ke Kampung Melayu Nyior manakala kereta Honda Civic dari arah bertentangan.
“Ketika sampai di lokasi kejadian, kereta Honda Civic dipandu Lim Chee Keong dipercayai telah memandu secara cuai dengan memotong sebuah kereta di garisan berkembar.
“Dalam masa sama, mangsa yang berada di laluannya tidak sempat mengelak kereta Honda Civic berkenaan sebelum berlaku pertembungan,” katanya melalui kenyataan hari ini.
Menurut Bahrin, akibat kejadian itu, Yuskhairi mengalami kecederaan parah di bahagian kaki, badan dan kepala sebelum dibawa Hospital Ence’ Besar Hajjah Khalsom Kluang.
Manakala Lim Chee Keong, tambahnya, yang cedera ringan di bahagian muka, tangan dan kaki mendapatkan rawatan di sebuah klinik swasta di bandar Kluang.
“Pukul 3.30 pagi tadi, polis telah dimaklumkan oleh pihak hospital bahawa Yuskhairi disahkan meninggal dunia ketika dalam rawatan.
“Proses bedah siasat dilakukan pukul 10 pagi ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya. – UTUSAN