PETALING JAYA: Ketua penyokong tegar skuad Harimau Malaya yang dikenali sebagai Ultras Malaya (UM), Lekir Ahmad, hari ini mengumumkan pengundurannya sebagai ketua selepas 17 tahun berkhidmat sebagai ‘pemain ke-12’ di belakang pasukan negara.
Pengumuman tersebut dibuat menerusi laman Facebooknya, di mana Lekir mengucapkan terima kasih kepada semua yang menyokong gerakan ini.
“Sampai sudah masa untuk saya memulangkan semula nama UM, sebuah gerakan anak bangsa yang saya tumpahkan seluruh jiwa raga selama ini hingga menjadi sinonim dengan diri,” tulisnya.
Beliau menjelaskan bahawa keputusan ini diambil selepas komplot UM yang berlangsung pada bulan Jun lalu, di mana ia meleraikan segala yang berkaitan dengan gerakan ini.
“Dengan 11 sub yang akan bersuara secara kolektif, UM akan terus menjadi paksi ke-12 bagi Harimau Malaya,” tambahnya.
Lekir turut mengucapkan terima kasih kepada semua ahli UM dan meminta maaf sekiranya ada kesilapan atau salah faham sepanjang perkhidmatannya.
“Apa saja yang berlaku sepanjang dari titik awal transformasi HarimauMalayadotCom (HMC) ke gerakan secara fizikal UM, saya mohon ampun dan maaf jika ada tersalah kata, tersilap bicara, atau tercanggung urus terjelek perbuatan,” katanya.
Sejak penubuhannya, UM dikenali sebagai penyokong setia skuad Harimau Malaya, sering hadir untuk memberikan sokongan tidak kira di halaman sendiri mahupun di luar negara.
Kehadiran Ultras Malaya telah membangkitkan semangat pemain dengan suasana stadium yang ‘hidup’ menerusi nyanyian dan paluan gendang.
Dengan pengunduran Lekir, Ultras Malaya kini melangkah ke era baharu tanpa kepimpinannya, tetapi diharapkan semangat dan dedikasi untuk pasukan Harimau Malaya akan terus berkekalan.-UTUSAN