GRAN CANARIA, SEPANYOL: Lebih 230 pendatang asing tanpa izin diselamatkan daripada sebuah bot kayu kecil di perairan sekitar Kepulauan Canary, Sepanyol pada Ahad, menurut pihak berkuasa pengawal pantai.
Dalam operasi menyelamat itu, seramai 14 wanita dan tiga kanak-kanak adalah antara 231 orang yang ditemukan dalam bot tersebut, menjadikan jumlah penyelamatan terbesar bagi sebuah bot di kawasan perairan Gran Canaria tahun ini, kata pihak berkuasa kepada Reuters.
Pengawal pantai Sepanyol menunda bot tersebut setelah menemukan para migran berhampiran pelabuhan utama Gran Canaria.
Sebanyak 32,878 migran sanggup mengambil laluan berbahaya dari Afrika Barat ke Kepulauan Canary antara Januari hingga 15 Oktober tahun ini, meningkat sebanyak 39.7 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu, menurut data kerajaan.
Laluan Atlantik ke Kepulauan Canary menjadi laluan migrasi tidak terkawal yang mencatat pertumbuhan paling pesat dalam beberapa tahun kebelakangan ini, meskipun jumlah migran yang melalui laluan tersebut masih di bawah jumlah yang mengambil laluan di Mediterranean Tengah menuju ke Itali. – AGENSI