Lebih 200 maut akibat taufan Helene di AS - Utusan Malaysia

Lebih 200 maut akibat taufan Helene di AS

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Seramai 200 orang disahkan maut selepas Taufan Helene melanda beberapa negeri di tenggara Amerika Syarikat (AS), menjadikannya ribut paling membahayakan kedua yang melanda AS dalam lebih setengah abad.

Menurut data rasmi yang dikumpulkan oleh AFP, sebanyak 201 kematian direkodkan di North Carolina, South Carolina, Georgia, Florida, Tennessee dan Virginia serta tedapat lebih separuh kes kematian berlaku di North Carolina yang dilanda banjir besar.

Helene merupakan taufan paling kuat di tanah besar AS sejak Taufan Katrina pada 2005, yang meragut nyawa 1,392 orang.

Walaupun ratusan operasi menyelamat dilakukan di enam negeri dan bantuan besar-besaran yang melibatkan lebih 10,000 anggota Persekutuan untuk membantu penyelamat tempatan, jumlah korban akibat ribut besar ini dijangka meningkat, dengan ramai penduduk belum dapat dikesan di kawasan pergunungan yang terkenal dengan penempatan terpencil.

“Kami masih meneruskan usaha mencari mangsa yang terselamat,” menurut kenyataan terkini dari Buncombe County di North Carolina, pusat tragedi ini yang merekodkan lebih 60 kematian.

Penduduk masih terputus hubungan dengan dunia luar akibat tanah runtuh dan jambatan yang musnah.

“Ucapan takziah dan doa kami terus bersama keluarga mereka yang mengalami tragedi ini,” kata Gabenor Georgia, Brian Kemp, dalam satu taklimat di negeri itu, dengan jumlah korban kini meningkat kepada 33 orang.

Presiden AS, Joe Biden meneruskan lawatan hari kedua ke negeri-negeri yang terjejas dengan mengunjungi Florida pada Khamis.

Taufan Helene melanda kawasan pantai utara Teluk Florida minggu lalu, sebagai taufan Kategori 4 dengan kelajuan angin mencapai 225 kilometer sejam.

Biden turut melakukan tinjauan udara di kawasan pesisir pantai untuk melihat kemusnahan yang berlaku, sebelum melawat kawasan rumah dan bangunan yang musnah di Keaton Beach, berhampiran tempat taufan itu berlaku. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya