BALING: The Magnificent Baling 100 (TMB100) 2024 berjaya menarik lebih 1,000 penyertaan, peningkatan memberangsangkan berbanding hanya 800 peserta tahun lalu.
Lebih menarik acara ini bukan sahaja menarik peminat larian denai (trail running) tempatan tetapi turut mendapat sambutan antarabangsa dengan kehadiran peserta dari Indonesia, Singapura, Argentina, Jerman, Filipina, Russia, Sepanyol, dan Vietnam.
Acara ini menawarkan empat kategori larian iaitu 100 kilometer (km), 50km, 25km, dan 10km, yang memberi peluang kepada pelari dari pelbagai tahap untuk menikmati keindahan semula jadi kawasan ini.
“Laluan 100km TMB100 tidak begitu teknikal, namun persiapan fizikal dan peralatan perlu rapi sebelum perlumbaan. Sentiasa berwaspada dan peka dengan lokasi kawasan rehat ‘checkpoint’ yang disediakan oleh penganjur bagi merancang pengambilan nutrisi dengan sebaiknya.
“Laluan yang ditanda rapi serta kehadiran marshal di sepanjang laluan turut membantu melancarkan larian,” kata Muhammad Asyraf Ghazali, pemenang kategori lelaki terbuka 100km.
Laluan TMB100 membawa peserta merentasi pelbagai jenis landskap menakjubkan di kaki Gunung Pulai dan Gunung Baling. Pelari melintasi sawah padi, dusun buah-buahan, Gua Tembus, dan sungai Lubuk Pedati, menawarkan pengalaman unik yang sukar didapati di tempat lain.
“Cuaca sangat baik, dengan gerimis di awal permulaan yang menjadikan larian lebih mudah kerana suhu yang agak dingin. Ketika matahari terbit, kawasan diliputi kabus, menonjolkan pemandangan Gunung Baling yang sangat indah. Secara keseluruhan, pengalaman berada di Baling adalah sesuatu yang sangat menarik.” kata Evgenii Makarov, pelari antarabangsa kategori 100km dari Russia.
Sebagai inisiatif yang seiring dengan kempen Visit Kedah 2025, TMB100 bertujuan mempromosikan keindahan alam semula jadi Baling yang kurang mendapat pendedahan.
Penyertaan peserta dan pengunjung turut menyumbang kepada perkembangan ekonomi setempat, memberikan peluang kepada perniagaan kecil dan masyarakat di Baling untuk berkembang.
Acara ini juga membantu memperkenalkan produk pelancongan, perniagaan, penginapan, dan makanan tempatan yang unik kepada lebih ramai pengunjung bagi tahun Melawat Kedah tahun hadapan.
Penganjur TMB100 turut berjanji untuk membawa pembaharuan yang lebih menarik pada masa akan datang, menjadikan acara ini antara yang terbaik dalam kalendar larian denai Malaysia.-UTUSAN