Lebih 100 orang dikhuatiri maut, bot terbalik di Nigeria

Lebih 100 orang dikhuatiri maut, bot terbalik di Nigeria

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANO: Lebih 100 orang dipercayai maut selepas sebuah bot yang membawa kebanyakannya wanita dan kanak-kanak terbalik di Nigeria, kata pasukan penyelamat selepas menemukan lebih banyak mayat di Sungai Niger, semalam.

Kira-kira 300 penumpang dalam perjalanan untuk meraikan sambutan Maulidur Rasul di Negeri Niger, bahagian tengah Nigeria, apabila kejadian berlaku pada Selasa, menurut agensi kecemasan negeri itu.

“Kami telah menemukan 20 mayat lagi hari ini. Ini menjadikan jumlah keseluruhan mayat yang ditemukan dari sungai adalah 36,” kata jurucakap, Ibrahim Audu Husseini kepada AFP.

Menurutnya, fokus mereka adalah untuk mengeluarkan baki mayat hilang selepas tiada kemungkinan untuk menemukan mangsa lain yang masih hidup.

Agensi itu tidak memberikan sebab punca kejadian yang berlaku di kawasan komuniti Gbajibo, berhampiran Mokwa, namun menjelaskan insiden berlaku selepas waktu senja sekitar pukul 8.30 malam waktu tempatan.

Kemalangan bot kerap berlaku di kawasan perairan Nigeria yang kurang dikawal, terutamanya semasa musim hujan apabila paras sungai dan tasik meningkat.

Pihak berkuasa perairan Nigeria telah melarang perjalanan pada waktu malam dan menganggap membawa muatan berlebihan sebagai satu kesalahan, tetapi kru bot sering melanggar peraturan tersebut.

Pada Jun tahun lalu, lebih 100 orang terkorban apabila sebuah bot terbalik di Negeri Kwara, utara tengah Nigeria, menjadikannya antara kemalangan perairan paling buruk di negara itu dalam tempoh beberapa tahun.

Sementara itu, dalam kenyataan pada Khamis malam, Presiden Nigeria, Bola Ahmed Tinubu, menyampaikan rasa simpati kepada mangsa dan menyeru supaya siasatan dilakukan terhadap kemalangan bot yang berlaku baru-baru ini.

Presiden juga menggesa pihak berkuasa untuk memastikan pengendali bot yang melanggar larangan perjalanan waktu malam dibawa ke muka pengadilan. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN