LONDON: Operasi penerbangan di lapangan terbang antarabangsa utama di bandar kedua terbesar di United Kingdom ditangguhkan selama beberapa jam ekoran amaran keselamatan, semalam.
Polis West Midlands di tengah England mengarahkan penutupan sebahagian Lapangan Terbang Birmingham selepas menerima laporan mengenai kenderaan yang mencurigakan.
Pihak berkuasa lapangan terbang menasihatkan penumpang supaya tidak melakukan perjalanan, manakala mereka yang menunggu jadual penerbangan terpaksa meninggalkan terminal dengan berjalan kaki bersama bagasi mereka.
“Kami memohon maaf atas sebarang kesulitan dan gangguan kerana keselamatan semua penumpang di lapangan terbang adalah keutamaan nombor satu kami,” katanya dalam kenyataan.
Polis West Midlands berkata, penggantungan operasi itu adalah langkah berjaga-jaga, sementara kenderaan itu diperiksa.
“Susulan pemeriksaan oleh pasukan Pelupusan Ordnan Letupan (EDO), kenderaan itu disifatkan selamat. Kenderaan itu tidak lagi dianggap mencurigakan,” katanya.
Lapangan Terbang Birmingham adalah lapangan terbang ketujuh di United Kingdom tersibuk mengikut bilangan penumpang dan digunakan sebagai pangkalan operasi untuk pesawat easyJet, Ryanair, TUI Airways dan Jet2.com.
Laluan paling sibuk adalah melibatkan laluan dua hala dari Dublin, Dubai dan Amsterdam. -AFP