KPWKM tidak sembarangan kendali kes kanak-kanak GISBH

KPWKM tidak sembarangan kendali kes kanak-kanak GISBH

NANCY SYUKRI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menegaskan bahawa pihaknya tidak sembarangan dalam mengendalikan kes membabitkan kanak-kanak GISB Holdings Sdn. Bhd. (GISBH) yang diselamatkan seperti dakwaan sesetengah pihak.

Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, kementerian melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mengendalikan kesemua kanak-kanak terlibat itu berdasarkan prosedur yang ditetapkan serta mematuhi peruntukan undang-undang.

“Saya jawab (tapi) dia tiada dalam dewan. Kebanyakan mereka ini mendengar dari sosial media (sahaja), JKM ini kita ikut ke mana polis bawa tapi tumpuan kita adalah kanak-kanak sebab itu di bawah kumpulan sasar. Kita hanya bersiap sedia jika melibatkan kanak-kanak.

“Kalau orang luar nak mengatakan kita hanya pergi sesuka hati, polis memang sudah bersedia dari awal, telah menjalankan siasatan dari awal, mereka lebih mengetahui,” katanya kepada pemberita selepas Program Kolaborasi Strategik bersama Kerajaan Negeri: Reformasi Penyaluran Bantuan Am Negeri di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin yang mendakwa bahawa tindak tanduk yang dilakukan pengurusan dalam kes GISBH melibatkan kanak-kanak agak bercelaru dan seolah-olah tangkap muat.

Dalam pada itu, Nancy turut meminta kepada pihak di luar sana supaya tidak mempercayai satu sumber sahaja terutamanya apa yang diperkatakan di platform media sosial.

Ini kerana beliau sentiasa memantau serta mengikuti kes tersebut secara rapat, selain turun untuk melihat sendiri keadaan di rumah perlindungan yang menempatkan kanak-kanak GISBH terbabit.

“Saya minta kerjasama pihak media, kita harap orang di luar sana jangan percaya dengan apa yang diperkatakan di sosial media sahaja, saya juga ikuti kerana hendak tahu apa yang dikatakan itu ‘matching’ atau tidak dengan apa yang berlaku.

“Saya turun sendiri, saya tahu apa yang berlaku cuma saya tidak masukkan ke media sosial kerana tempat itu sepatutnya tempat selamat, orang sepatutnya tidak bercerita sangat. (Sebenarnya) ramai orang datang hendak membantu, kami bukan menolak tetapi kita sepatutnya menjaga mereka di tempat yang selamat dan mereka ini masih dalam siasatan,” katanya.

Tambahnya lagi, kanak-kanak yang berada di bawah perlindungan JKM juga tidak boleh dikeluarkan sewenang-wenangnya dan perlu mendapat perintah mahkamah.

“Jadi kalau betul-betul ini adalah anak mereka, kita akan kembalikan tapi kita perlu mematuhi undang-undang sedia ada, malah ada di kalangan kanak-kanak ini tidak tahu ibu mereka seperti saya sebutkan dalam dewan (Dewan Rakyat) semalam, mereka tak tahu dan tidak kenal.

“Sebab itu kita tidak boleh sembarangan, kalau itu betul anak dia dan kita dapat buktikan, kita dapat keluarkan anak itu. Tapi apa pun, perlu mematuhi peruntukan permohonan daripada mahkamah,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya