SEOUL: Korea Utara meletupkan jalan utama yang menghubungkan bahagian utara dan selatan Semenanjung Korea pada Selasa, selepas Pyongyang memberi amaran akan mengambil langkah untuk memutuskan hubungan sepenuhnya dengan Korea Selatan.
Menurut Ketua Turus Bersama (JCS) Korea Selatan, letupan berlaku sekitar pukul 12 tengah hari waktu tempatan dan melibatkan laluan Gyeongui di pantai barat serta laluan Donghae di pantai timur, yang merupakan jalan utama serta rangkaian kereta api menghubungkan kedua-dua negara.
Walaupun laluan tersebut tidak digunakan sejak beberapa tahun lalu, tindakan ini bersifat simbolik kerana ia berlaku ketika hubungan antara kedua-dua pemimpin negara semakin tegang.
Video yang dikongsi oleh Kementerian Pertahanan Korea Selatan menunjukkan beberapa letupan di jalan sebelah utara sempadan tentera yang memisahkan kedua-dua negara tersebut.
Menerusi respons kepada tindakan itu, tentera Korea Selatan melepaskan tembakan dan terus memantau pergerakan tentera Korea Utara sambil mengekalkan kesiapsiagaan penuh dengan kerjasama Amerika Syarikat.
Pada Isnin, Korea Selatan telah mengesan tanda-tanda Korea Utara merancang untuk meletupkan jalan-jalan yang menghubungkan kedua-dua negara itu dan memberi amaran letupan boleh berlaku pada bila-bila masa.
Tindakan ini dilakukan hanya beberapa hari selepas Korea Utara menuduh Seoul menghantar dron propaganda ke Pyongyang dan mengancam tindakan balas.
Minggu lalu, tentera Korea Utara memberi amaran, pihaknya akan mengambil langkah ketenteraan untuk memutuskan sepenuhnya hubungan dengan Korea Selatan, selepas pemimpinnya, Kim Jong Un membatalkan dasar penyatuan semula secara aman yang telah lama dipegang oleh Pyongyang, awal tahun ini.
Korea Utara dan Korea Selatan terpisah sejak Perang Korea berakhir pada 1953 dengan perjanjian gencatan senjata dan sejak itu, kedua-dua negara secara teknikalnya masih berperang.
Tindakan terkini Pyongyang untuk memutuskan hubungan sepenuhnya dengan Korea Selatan dilihat sebagai tindak balas terhadap latihan perang baru-baru ini di Korea Selatan serta kehadiran aset nuklear strategik Amerika Syarikat di rantau tersebut. -AGENSI