SEOUL: Sebuah pesawat pengangkut tentera Korea Selatan membawa pulang 97 rakyatnya dan ahli keluarga dari Lubnan berikutan ketegangan yang semakin memuncak di negara itu.
Kesemua mereka dijangka tiba di Korea Selatan pada petang ini, menurut Kementerian Luar negara itu.
Pesawat KC-330 mendarat di Beirut pada pagi Jumaat dan berlepas pada sebelah petang bersama rakyat Korea Selatan, termasuk ahli keluarga warga Lubnan.
Pesawat tersebut dijangka tiba di sebuah lapangan terbang tentera di selatan ibu negara Seoul, kata kenyataan itu.
Rabu lalu, Presiden, Yoon Suk Yeol mengarahkan pesawat tentera dihantar segera bagi mengangkut warganya dari bahagian Asia Barat yang terjejas akibat ketegangan yang meningkat dalam konflik antara Israel dan Hezbollah.
Kerajaan akan mengambil tindakan lanjut bagi memastikan keselamatan warganya, tambah kenyataan kementerian tanpa memberi perincian lanjut.
Diplomat Korea Selatan yang ditempatkan di Lubnan, bagaimanapun kekal berada di negara tersebut, lapor agensi berita Yonhap.
Beberapa negara di seluruh dunia kini bersiap sedia dengan pelan kecemasan untuk memindahkan rakyat mereka dari Lubnan setelah ketegangan meningkat dengan ketara dalam konflik antara Israel dan kumpulan Hezbollah yang disokong Iran.
Britain misalnya telah menyewa sejumlah pesawat untuk membolehkan 150 rakyatnya meninggalkan Lubnan.
Amerika Syarikat (AS) telah mengerahkan berpuluh-puluh anggota tentera ke Cyprus bagi membantu persiapan pemindahan rakyat Amerika dari Lubnan sekiranya diperlukan.
Jabatan Negara AS juga bekerjasama dengan syarikat penerbangan untuk menambah penerbangan keluar dari Lubnan, menyediakan lebih banyak tempat duduk bagi rakyat Amerika, menurut kenyataan pada Selasa. -AGENSI