Komander tentera Iran hilang selepas serangan udara di Beirut

Komander tentera Iran hilang selepas serangan udara di Beirut

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DAMSYIK: Komander Pasukan Quds Iran, Esmail Qaani, yang berkunjung ke Lubnan selepas kematian pemimpin Hezbollah, Sayyed Hassan Nasrallah dalam serangan udara Israel, dilaporkan hilang selepas serangan terhadap Beirut, minggu lalu.

Maklumat itu diperoleh daripada dua pegawai keselamatan kanan Iran yang memberitahu kepada Reuters.

Salah seorang pegawai berkata, Qaani berada di pinggir selatan Beirut semasa serangan yang dikatakan menyasarkan pegawai kanan Hezbollah, Hashem Safieddine.

Namun, pegawai itu menjelaskan Qaani tidak berada di lokasi serangan ketika pertemuan dengan Safieddine.

Seorang pegawai Hezbollah memberitahu Israel tidak membenarkan pencarian Safieddine diteruskan selepas serangan bom di pinggir selatan Beirut pada Khamis lalu.

Menurut pegawai tersebut, kumpulan itu hanya akan mengumumkan status Safieddine apabila pencarian selesai.

Safieddine dilihat sebagai pengganti Nasrallah, yang terbunuh dalam serangan Israel di pinggir Beirut pada 27 September lalu.

Pegawai Iran itu berkata, Iran dan Hezbollah tidak berjaya menghubungi Qaani, yang dilantik sebagai Ketua Perkhidmatan Risikan Ketenteraan Luar Negara Pasukan Pengawal Revolusi Iran (IRGC) atau Pasukan Quds, selepas pendahulunya, Qassem Soleimani maut dalam serangan dron oleh Amerika Syarikat di Baghdad pada 2020.

Israel melancarkan serangan ke atas beberapa sasaran di Dahiyeh, pinggir Beirut dalam kempen mereka menentang kumpulan Hezbollah yang disokong Iran.

Seorang lagi pegawai Iran berkata, Qaani menuju ke Lubnan selepas kematian Nasrallah dan pihak berkuasa Iran tidak berjaya menghubunginya sejak serangan terhadap Safieddine, yang dijangka menjadi ketua Hezbollah yang seterusnya.

Apabila ditanya mengenai laporan Qaani mungkin telah terbunuh dalam serangan udara Israel di Beirut, jurucakap tentera Israel, Leftenan Kolonel Nadav Shoshani, berkata keputusan serangan itu masih dalam proses penilaian.

“Kami telah menjalankan serangan lewat minggu lalu terhadap ibu pejabat perisikan Hezbollah di Beirut. Apabila kami mempunyai keputusan yang lebih khusus mengenai serangan itu, kami akan berkongsi.

“Banyak persoalan mengenai siapa yang berada di sana dan siapa yang tidak,” katanya semasa taklimat kepada wartawan.

Komander Pasukan Pengawal Revolusi Iran, Brigedier Jeneral Abbas Nilforoushan terbunuh bersama Nasrallah apabila dihentam bom Israel pada 27 September lalu. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya