KUALA LUMPUR: Kuala Lumpur (KL) City mempamerkan kebangkitan bergaya ketika membenam cabaran Kelantan Darul Naim (KDN) FC 3-1 pada aksi Liga Super di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, sebentar tadi.
Beraksi di laman sendiri dan mendapat bayaran sebulan tunggakan gaji baru-baru ini memberi motivasi tinggi untuk mereka memburu kemenangan.
Meskipun menguasai hampir keseluruhan babak pertama namun jentera depan KL City gagal
menghasilkan gol walaupun memiliki beberapa peluang terhidang.
Bersambung babak kedua, KDA FC mengejutkan tuan rumah apabila berjaya mendahului menerusi tandukan Washington Brandao pada minit ke-56 selepas menyempurnakan sepakan percuma Hakimi Abdullah.
Tersentak dengan jaringan itu, KL City kembali mengatur gerakan menyerang dan berjaya menperolehi gol penyamaan pada minit ke-64 menerusi ledakan Nicholas Swirad yang memanfaatkan situasi kelam kabut di dalam kotak penalti.
Gol itu meniup motivasi pemain tuan rumah dan hasilnya Paulo Josue menggandakan jaringan pada minit ke-80.
Tonggak kelahiran Brazil itu, sekali lagi menemui sentuhan gol apabila menyumbat jaringan ketiga buat KL City pada penghujung perlawanan sekali gus memberi kemenangan bergaya buat tuan rumah.
KL City kini menghuni tangga keenam liga dengan 14 mata manakala KDN FC kekal di tangga ke-12 dengan mengumpul enam mata.-UTUSAN