KUALA LUMPUR: Kerajaan bersedia mengkaji cadangan untuk membuat pindaan undang-undang bagi menaikkan nilai ambang pendapatan rakyat bagi melayakkan permohonan bantuan Sumbangan Tunai Rahmah (STR).
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, peningkatan tersebut disifatkan wajar untuk dilakukan berdasarkan kenaikan kos sara hidup pada waktu kini.
“Cadangan menetapkan dari segi pindaan undang-undang kita akan kaji ia satu cadangan baharu, jadi kita akan lihat umpamanya keperluan meningkatkan (bantuan tunai) berdasarkan kenaikan kos sara hidup,” katanya di Dewan Rakyat.
Terdahulu, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (MUDA-Muar) mencadangkan Perdana Menteri melakukan pindaan undang-undang supaya peningkatan bantuan tunai (STR) dapat dibuat secara berkala. – UTUSAN