Kenyataan fitnah, Syed Saddiq mohon maaf

Kenyataan fitnah, Syed Saddiq mohon maaf

SYED SADDIQ SYED ABDUL RAHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kes saman fitnah bekas penasihat Datuk Seri Najib Tun Razak, Habibul Rahman Kadir Shah terhadap Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berhubung dakwaan konspirasi, selesai secara baik selepas kedua-dua pihak saling bermaafan dan memilih untuk tidak memanjangkan kes yang berlarutan sejak tiga tahun lalu.

Habibul Rahman, 68, dan Ahli Parlimen Muar itu sepakat menyelesaikan kes saman itu di Mahkamah Sesyen di sini hari ini dan bersetuju dengan terma-terma yang dinyatakan dalam penghakiman persetujuan.

Sehubungan itu, Hakim Norakhmar Sani merekodkan pernyataan maaf tanpa syarat yang dikemukakan oleh Syed Saddiq, 32, dan penghakiman persetujuan yang kemudian disahkan oleh peguam yang mewakili kedua-dua pihak.

Pada prosiding itu, peguam Datuk Seri Jahaberdeen Mohamed Yunoos mewakili Habibul Rahman dan Lim Wei Jiet bagi pihak Syed Saddiq.

Dalam pernyataan permohonan maaf secara terbuka yang dibaca di mahkamah, Ahli Parlimen Muar itu merujuk kepada kenyataan fitnah terhadap Habibul Rahman semasa sidang media di Hotel Seri Pacific pada 2 Oktober 2017.

Ujarnya, pada sidang media itu beliau merujuk kepada ancaman yang dibuat terhadapnya dan keluarga menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang ditegaskan benar-benar berlaku.

“Namun begitu, saya kemudiannya telah menerima maklumat lanjut dan menyedari bahawa semasa membuat kenyataan-kenyataan fitnah tersebut, saya telah disesatkan oleh beberapa pihak yang menyebabkan saya percaya bahawa apa yang saya alami pada tempoh tersebut adalah disebabkan oleh Habibul Rahman.

“Saya mengakui kenyataan-kenyataan fitnah mengenai Habibul Rahman timbul daripada maklumat yang mengelirukan yang telah disampaikan kepada saya yang kini saya tahu adalah palsu.

“Saya memohon maaf atas kenyataan-kenyataan fitnah yang telah menyebabkan pelbagai masalah dan kesulitan kepada Habibul Rahman dengan harapan ia dapat membersihkan nama baik beliau serta dapat memulihkan hubungan profesional dan hubungan peribadi di antara kami.

“Saya mengakui kenyataan itu telah mencemarkan reputasi beliau dan merosakkan imej terhormat seorang individu yang pernah berkhidmat sebagai penasihat kepada Perdana Menteri ketika itu,” ujar beliau sambil berjanji untuk tidak mengulanginya pada masa akan datang.

Pada 16 November 2021, Habibul Rahman memfailkan saman terhadap Syed Saddiq atas dakwaan memfitnah plaintif di dalam satu sidang media yang dihadiri oleh pengamal media daripada pelbagai agensi berita.

Plaintif mendakwa kenyataan fitnah itu antara lain membawa maksud bahawa beliau telah merancang, mengugut dan menyerang secara peribadi para pemimpin pengasas Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) termasuk Syed Saddiq yang ketika itu Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA).

Ditemui pemberita media selepas prosiding, Habibul Rahman berkata akhirnya kebenaran dapat dibuktikan dan berterima kasih kepada peguam kerana mengendalikan kes saman itu dengan baik manakala Syed Saddiq pula mengucapkan terima kasih kepada plaintif kerana menerima permohonan maafnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN