PUTRAJAYA: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menggesa supaya 10 negeri yang menerima peruntukan secara keseluruhan sebanyak RM4.6 juta menaik taraf rumput di stadium utama negeri masing-masing untuk menjaminkan Liga Malaysia (Liga M) berjalan dengan lancar.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, geran yang diberikan harus digunakan dengan telus untuk membaiki sistem saliran serta pertukaran rumput padang dan tidak boleh sama sekali digunakan untuk tujuan lain.
Hannah turut menjelaskan, sekiranya enggan mempersetujui, KBS berhak menarik semula peruntukan dan negeri berkenaan wajib memulangi semula jumlah yang sudah diterima itu.
“Tujuan kita lakukan ini kerana ingin meningkatkan kualiti padang dan memastikan kelancarann perjalanan Liga M di stadium negeri masing-masing. Lapan negeri yang sudah menerima geran penuh (RM500,000) dan kita berharap semua negeri yang terlibat akan menggunakan geran itu berdasarkan skop yang sudah ditetapkan bagi.
“Jika mereka sudah terima duit untuk pertukaran, mereka wajib lakukan kerana kita dengar ada yang tidak mahu tukar (rumput) dan ada yang menulis surat kepada kita untuk gunakan duit itu naik taraf tandas.
“Perkara seperti ini kita tidak akan benarkan terjadi dan kita hubungi mereka semula untuk, kalau mereka tidak berupaya untuk laksanakan, kita akan tarik balik geran ini dan meminta (peruntukan) itu dipulangkan semula ke kerajaan persekutuan.
“Mereka perlu jelaskan kepada peminat di peringkat negeri masing-masing kenapa ada geran tapi tidak mahu gunakan sebaik mungkin (tukar padang),” katanya semasa sidang media status pelaksanaan projek menaik taraf padang bola sepak di stadium negeri utama negeri, di Menara KBS, semalam.
KBS memberi peruntukan sebanyak RM300,000 untuk sistem saliran padang dan RM200,000 (bertukaran rumput baharu) dan mereka diberikan pilihan rumput iaitu Zeon Zoysia, Bermuda atau jenis rumput bilah halus (fine-blade grass).
Antara negeri yang menerima peruntukan penuh adalah negeri Negeri Sembilan, Kelantan, Pahang, Terengganu, Selangor, Perak, Kuala Lumpur dan Melaka sementara Perlis dan kedah hanya ingin melakukan saliran padang sahaja.