Kapal dagang dikejutkan dua letupan oleh Houthi - Utusan Malaysia

Kapal dagang dikejutkan dua letupan oleh Houthi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ADEN: Agensi keselamatan maritim melaporkan dua letupan berlaku berhampiran sebuah kapal di Laut Merah berdekatan Yemen pada Isnin.

Insiden itu berlaku ketika kumpulan Houthi yang disokong Iran melancarkan serangan terhadap kapal-kapal sebagai tindakan yang didakwa untuk menyokong rakyat Palestin di Gaza.

Operasi Perdagangan Maritim United Kingdom (UKMTO), yang dikendalikan oleh tentera laut British berkata, seorang kapten kapal melaporkan letupan berhampiran dengan kapal dagang miliknya dan selang beberapa ketika kemudian, letupan kedua berlaku.

Bagaimanapun, kapten tersebut melaporkan tiada kerosakan pada kapal, dan semua kru dilaporkan selamat.

Ini adalah serangan pertama ke atas kapal dagang yang dilaporkan UKMTO sejak pesawat pengebom berat AS, B-2, melancarkan serangan terhadap pelbagai sasaran Houthi termasuk fasiliti penyimpanan senjata pada 17 Oktober lalu.

Ketika itu, kumpulan Houthi memberi amaran serangan tersebut tidak akan berlalu tanpa balasan.

Tiada pihak mengaku bertanggungjawab secara langsung atas serangan ini yang berlaku kira-kira 25 kilometer ke selatan bandar Mokha di Yemen.

Syarikat keselamatan maritim Ambrey turut melaporkan dua letupan berhampiran sebuah kapal dagang, dengan menambah kapal tersebut mempunyai pasukan keselamatan bersenjata persendirian di atas kapal.

Kumpulan Houthi, telah mensasarkan kapal yang dikaitkan dengan Israel di Laut Merah dan Teluk Aden sejak November lalu sebagai tanda sokongan terhadap Palestin sepanjang konflik Israel-Hamas.

Serangan-serangan ini telah mengganggu laluan Laut Merah yang membawa 12 peratus perdagangan global, mencetuskan tindakan balas oleh Amerika Syarikat dan Britain terhadap sasaran Houthi di Yemen.

Dalam lebih 100 serangan Houthi sejak hampir setahun lalu, empat kelasi telah terkorban, dua kapal tenggelam, manakala sebuah kapal dan kru masih ditahan sejak dirampas pada November tahun lalu. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya