OTTAWA: Kanada dan India bertindak mengusir utusan tertinggi bersama diplomat lain, ketika perbalahan semakin memuncak berhubung pembunuhan seorang pemisah Sikh, di Kanada, tahun lalu.
Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau berkata, kerajaannya bertindak balas selepas pihak polis meneruskan dakwaan yang boleh dipercayai ejen India terlibat secara langsung dalam pembunuhan Hardeep Singh Nijjar.
Polis Kanada menuduh ejen India terlibat dalam pembunuhan, peras ugut dan tindakan ganas yang menyasarkan penyokong gerakan pro-Khalistan, yang mencari tanah air berasingan untuk Sikh di India.
India menolak dakwaan itu sebagai ‘tidak masuk akal’, menuduh Trudeau melindungi komuniti Sikh yang besar di Kanada demi keuntungan politik.
Bercakap secara langsung di televisyen pada petang semalam, Truedau berkata, India membuat ‘kesilapan asas’ dalam menyokong tindakan ‘jenayah’ di Kanada dan kerajaannya terpaksa bertindak atas penemuan terkini.
“Bukti yang didedahkan oleh polis Kanada tidak boleh diabaikan.
“Ia membawa kepada satu kesimpulan, adalah perlu untuk membanteras aktivit jenayah yang terus menimbulkan ancman kepada keselamatan awam di Kanada. Itulah sebabnya kami bertindak,” katanya.
Hubungan antara New Delhi dan Ottawa kian tegang sejak Trudeau mengumumkan pihaknya mempunyai bukti boleh dipercayai yang mengaitkan ejen India dengan pembunuhan Nijjar. -BBC