TUNIS: Penyandang jawatan Presiden Tunisia, Kais Saied dijangka memenangi Pilihan Raya Presiden negara itu dengan sokongan 89.2 peratus walaupun peratusan keluar mengundi adalah rendah.
Perkembangan itu berdasarkan tinjauan yang disiarkan dalam televisyen selepas proses pengundian pilihan raya, ditutup semalam.
Saied, 66, dijangka menang besar dengan menewaskan pencabarnya, Ayachi Zammel yang dipenjarakan dengan 6.9 peratus undi, dan Zouhair Maghzaoui dengan 3.9 peratus undian, menurut kumpulan pengundian bebas, Sigma Conseil.
Lembaga Pemilihan Tunisa, ISIE berkata, kira-kira 9.7 juta orang layak mengundi daripada bilangan penduduk sekitar 12 juta orang.
Bagaimanapun, hanya 27.7 peratus yang keluar mengundi.
Lebih 58 peratus adalah pengundi lelaki dan 65 peratus berumur antara 36 hingga 60 tahun.
Tiga tahun selepas Saied melakukan rampasan kuasa secara meluas, kumpulan hak asasi manusia bimbang pemilihan semula hanya akan mengukuhkan lagi pemerintahannya di negara itu, satu-satunya demokrasi yang muncul daripada kebangkitan Arab Spring.
Dengan penyingkiran diktator lama, Zine El Abidine Ben Ali pada 2011, Tunisia menjadi tempat kelahiran pemberontakan serantau terhadap pemerintahan autoritarianisme.-AFP