JAKARTA: Bekas Presiden Ketujuh Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) menyatakan harapan dan cita-cita bangsa Indonesia kepada Presiden baharu, Prabowo Subianto.
Perkara itu disampaikan beliau sebelum menaiki pesawat TNI AU Boeing 737-800 NG untuk pulang ke Solo, Jawa Tengah, pada Ahad.
“Saya sampaikan kepada Presiden, saya serahkan sepenuhnya impian, harapan, serta cita-cita besar 284 juta rakyat Indonesia kepada Presiden, Jeneral TNI (Bersara) Prabowo Subianto,” kata Jokowi di Pangkalan Udara Halim Perdanakusuma, Jakarta.
Tambah beliau, tugas negara sangat besar dengan pelbagai persoalan yang belum selesai.
Begitu juga dengan pelbagai keinginan dan cita-cita rakyat, yang menurut Jokowi, terlalu banyak untuk diselesaikannya seorang diri.
Justeru, Jokowi mendoakan agar Prabowo diberikan kekuatan untuk memimpin negara tersebut bagi tempoh lima tahun akan datang.
“Semoga beliau diberi kekuatan untuk memimpin negara yang sangat besar ini,” ujarnya. -AGENSI