KUALA LUMPUR: “Jangan sedap menghukum saja tanpa kebenaran sebenar.”
Demikian kata aktres jelita, Nur Fazura yang tampil mempertahankan pelakon, Puteri Balqis selepas meluahkan kekecewaannya terhadap individu yang mendakwa ibunya mengambil bahan terlarang seperti dadah.
Perkara itu telah dikongsikan oleh Fazura yang turut memuat naik semula video tersebut di Instagram Story, semalam.
“Ruginya manusia yang tidak pandang kiri kanan atau hari esok bila berkata. Hanya tahu sedap mulut dan tangan nak menulis tanpa fikir perasaan orang lain dan akibatnya.
“Bagaimana kalau ini terjadi pada diri sendiri pula? Pernah terfikir tak? Jadi, guna la otak, hati dan ilmu. Terus kuat adikku Balqis!,” katanya dalam perkongsian tersebut.
Dalam masa sama, pelakon drama bersiri Andartu Kosmopolitan itu sempat memberi peringatan bahawa setiap perbuatan ada balasannya.
Malah, Fazura turut berharap individu yang memberi komen berbaur fitnah itu sempat memohon maaf kepada Balqis dan ibunya sebelum terlambat.
“Percaya Allah SWT sentiasa melihat dan mendengar. Setiap perbuatan pasti ada balasan-NYA.
“Semoga yang bersalah sempat minta maaf atas perbuatan fitnah ini dengan ibu Balqis dan anak-anaknya. Jika tidak, jawablah dengan Allah SWT. Semoga kita ambil pengajaran dan menjauhi sifat-sifat syaitan,” jelasnya.
Sebelum ini, Balqis telah meluahkan rasa kecewa terhadap tindakan beberapa warganet yang mendakwa ibunya, Norashikin Mohd Aziz mengambil bahan terlarang kerana matanya merah ketika membuat ulasan produk bersama di TikTok.
Balqis memberitahu komen yang berbaur fitnah tersebut telah menyebabkan ibunya mengalami tekanan emosi dan hampir bertindak di luar jangkaan. -UTUSAN