Israel serang pos pengaman di Lubnan - UNIFIL - Utusan Malaysia

Israel serang pos pengaman di Lubnan – UNIFIL

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BEIRUT: Pasukan Pengaman PBB di selatan Lubnan memaklumkan tentera Israel melepaskan tembakan ke arah salah satu pos mereka dalam satu serangan secara langsung dan disengajakan yang telah merosakkan sebuah menara kawalan.

Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL) berkata, pasukan pengamannya berhampiran Kfar Kila, selatan Lubnan, menyaksikan sebuah kereta kebal Merkava milik Israel melepaskan tembakan ke arah menara kawalan sehingga menyebabkan dua kamera musnah serta menara tersebut mengalami kerosakan.

Insiden terkini dalam siri serangan dan pelanggaran oleh Israel terhadap pasukan pengaman di Lubnan, yang berlaku ketika tentera rejim Zionis terus memperluaskan pengeboman dan serangan darat ke atas negara itu, sehingga mengorbankan ratusan orang serta memaksa hampir satu per empat penduduknya melarikan diri.

Ahad lalu, UNIFIL melaporkan tentera Israel ‘memasuki secara paksa’ sebuah pos UNIFIL berhampiran kampung Ramyah, melintasi Garis Biru yang ditetapkan oleh PBB, iaitu sempadan de facto antara Israel dan Lubnan, dengan menggunakan dua kereta kebal.

Tentera Israel kemudian melepaskan tembakan bom asap berhampiran pasukan pengaman, menyebabkan 15 orang anggota mengalami kerengsaan kulit serta masalah gastrointestinal.

UNIFIL turut melaporkan tentera Israel menghalang pergerakan logistik penting berhampiran Meiss el-Jabal, Sabtu lalu.

“Kami mengingatkan Pasukan Pertahanan Israel (IDF) dan semua pihak supaya mematuhi tanggungjawab mereka bagi memastikan keselamatan serta perlindungan anggota dan harta benda PBB, serta menghormati kekebalan premis-premis PBB pada setiap masa,” tegas misi pengaman tersebut.

Kerajaan Israel mendesak supaya UNIFIL meninggalkan posisinya di selatan Lubnan, dengan mendakwa kumpulan ‘bersenjata Lubnan, Hezbollah, menggunakan pasukan pengaman sebagai ‘perisai manusia’.

Namun, pasukan pengaman menolak untuk berbuat demikian.

Hezbollah menafikan dakwaan Israel, kumpulan itu menggunakan kedudukan berdekatan pasukan pengaman untuk melindungi pejuangnya. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya