BEIRUT: Tentera Israel melancarkan serangan terhadap ibu pejabat perisikan Hezbollah di ibu negara Lubnan, Beirut, ketika tentera Israel bertempur dengan Hezbollah berhampiran sempadan dan jet pejuangnya membedil kubu kuat kumpulan itu di seluruh negara.
Sumber yang rapat dengan Hezbollah berkata, Israel telah melancarkan 11 serangan berturut-turut ke atas kubu kuat Hezbollah di selatan Beirut lewat Khamis semalam, menjadikannya antara serangan paling ganas sejak Israel meningkatkan kempen serangannya pada minggu lalu.
Rakaman video menunjukkan api besar marak dari lokasi yang disasarkan dengan asap tebal berkepul dan percikan api melontar ke udara.
Agensi Berita Nasional Lubnan (NNA) melaporkan terdapat lebih 10 serangan berturut-turut direkodkan setakat ini, dalam salah satu serangan paling kuat di pinggir selatan Beirut sejak permulaan peperangan Israel di Lubnan.
Serangan itu turut bergema hingga ke kawasan pergunungan di luar Beirut, menurut NNA.
Terdahulu pada malam tersebut, sumber yang rapat dengan Hezbollah menyatakan serangan udara Israel telah menyasarkan sebuah gudang di sebelah lapangan terbang Beirut di selatan ibu kota.
“Serangan udara Israel menyasarkan gudang yang bersebelahan dengan lapangan terbang,” kata sumber itu kepada AFP sambil meminta identiti dirahsiakan kerana isu sensitif.
Sumber yang sama juga memaklumkan serangan sebelumnya menyasarkan sebuah bangunan yang menempatkan pejabat perhubungan media Hezbollah, yang telah dikosongkan terlebih dahulu.
Selepas hampir setahun pertempuran rentas sempadan yang berintensiti rendah, Israel telah memperluaskan kempen ketenteraannya dari Gaza ke Lubnan, dengan pengeboman besar-besaran telah membunuh lebih 1,000 orang dan memaksa ratusan ribu penduduk melarikan diri.
Minggu lalu, Israel membunuh pemimpin Hezbollah, Hassan Nasrallah, di selatan Beirut, kawasan yang padat penduduk sebelum penduduknya berpindah ekoran serangan bertubi-tubi Israel. -AGENSI