Israel sahkan pembunuhan Hashem Safieddine di Beirut

Israel sahkan pembunuhan Hashem Safieddine di Beirut

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEL AVIV: Tentera Israel mengesahkan pihaknya berjaya membunuh Hashem Safieddine, individu yang dikatakan bakal menggantikan tempat Pemimpin Hezbollah, Hassan Nasrallah, dalam satu serangan di kawasan selatan Beirut, tiga minggu lalu.

Menurut kenyataan tentera, serangan itu turut mengorbankan Ketua Pengarah Perisikan Hezbollah, Ali Hussein Hazima bersama beberapa komander kanan Hezbollah lain.

Namun, Hezbollah belum mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai dakwaan tersebut.

Pada 8 Oktober lalu, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berkata, tenteranya ‘menghapuskan’ Safieddine, walaupun tidak menyebut namanya secara spesifik dalam ucapannya kepada rakyat Lubnan.

Netanyahu juga menyatakan tentera Israel berjaya ‘menghapuskan ribuan pejuang, termasuk Hassan Nasrallah, penggantinya, dan pengganti kepada penggantinya.’

Tentera Israel juga mengesahkan serangan udara berkenaan adalah berdasarkan maklumat risikan yang tepat dan menyasarkan ibu pejabat perisikan utama Hezbollah di kawasan Dahiyeh, kubu kuat Hezbollah di Beirut.

Safieddine, yang merupakan saudara jauh Nasrallah dan ahli Majlis Eksekutif Hezbollah, dipercayai hilang sejak serangan Israel di Beirut beberapa minggu lalu.

Beliau merupakan calon yang paling berkemungkinan untuk menggantikan Nasrallah, menurut sumber rapat dengan Hezbollah.

Sejak akhir September, Israel telah menumpukan serangan udara ke atas kubu kuat Hezbollah di seluruh negara dan menghantar pasukan darat.

Konflik ini telah menyebabkan sekurang-kurangnya 1,552 orang terbunuh sejak 23 September lalu, menurut angka Kementerian Kesihatan Lubnan yang disusun oleh AFP. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya