DUBAI: Kementerian Luar Iran menyeru Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) supaya mengambil tindakan bermakna bagi mencegah sebarang ancaman terhadap keamanan dan keselamatan serantau.
Kenyataan itu dikeluarkan selepas Teheran melancarkan serangan peluru berpandu terhadap Israel pada Selasa.
Pasukan Pengawal Revolusi Iran berkata, serangan itu sebagai tindak balas terhadap pembunuhan pemimpin-pemimpin Islam oleh Israel serta tindakan agresif di Gaza dan Lubnan.
Pemimpin Hezbollah, Hassan Nasrallah dan Timbalan Komander Pengawal Revolusi Iran, Abbas Nilforoushan, terbunuh di Beirut minggu lalu.
“Operasi pertahanan kami adalah selaras dengan undang-undang antarabangsa dan hak untuk mempertahankan diri dan kami hanya menyasarkan kemudahan tentera dan keselamatan,” kata kenyataan kementerian itu berhubung serangan peluru berpandu terhadap Israel.
Sebelum ini, dalam satu hantaran di laman sosial X, Presiden Iran, Masoud Pezeshkian, menegaskan tindakan Teheran adalah untuk mempertahankan kepentingan dan rakyat Iran sambil menambah negaranya tidak mencari peperangan tetapi akan berdiri teguh menentang sebarang ancaman. -AGENSI