Insiden keganasan makin meningkat di Haiti - Utusan Malaysia

Insiden keganasan makin meningkat di Haiti

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT AU PRINCE: Keganasan geng di Haiti terus meningkat meskipun terdapat kehadiran pasukan pelbagai negara yang dikerah untuk menyokong pasukan polis negara Caribbean yang semakin tertekan, menurut seorang pegawai kanan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Wakil Khas, Setiausaha Agung PBB ke Haiti di Majlis Keselamatan, Maria Isabel Salvador berkata, keadaan keselamatan kekal sangat rapuh dengan kemunculan semula keganasan yang sangat melampau.

Kenyataan itu dibuat hanya beberapa minggu selepas 115 orang awam terbunuh dan puluhan lagi cedera dalam serangan geng di bandar tengah Port Sonde.

Salvador menyifatkan kejadian tersebut sebagai ‘mengerikan dan kejam’ dan turut menyebut beberapa siri serangan lain di ibu negara, Port-au-Prince, serta keganasan seksual yang dikatakan mempunyai ‘kekejaman luar biasa’ terhadap wanita dan kanak-kanak perempuan.

Katanya, lebih 700,000 orang terpaksa menjadi pelarian di dalam negara itu, yang menyaksikan peningkatan sebanyak 22 peratus dalam tempoh tiga bulan lalu.

“Rakyat Haiti terus menderita di seluruh negara kerana aktiviti jenayah geng semakin meningkat dan berkembang melangkaui Port-au-Prince, menyebarkan ketakutan dan kegelisahan, serta membebankan pihak keselamatan negara,” Ujarnya.

Beliau juga turut meluahkan kebimbangan terhadap proses politik di Haiti, yang dilihat mengalami cabaran yang besar.

“Walaupun terdapat kemajuan awal yang saya laporkan Julai lalu, namun kini, ia menghadapi cabaran besar, sekaligus menukar harapan kepada kebimbangan yang mendalam,” katanya lagi.

Keganasan tetap berlaku meskipun terdapat misi pelbagai negara yang disokong PBB untuk membantu pasukan polis Haiti, yang mula dikerahkan pada musim panas lalu.

Dalam laporan terkininya, Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres berkata, polis Haiti yang dibantu oleh misi yang diketuai Kenya, telah ‘melancarkan operasi besar-besaran anti-geng’ di beberapa daerah di ibu negara, namun masih menghadapi cabaran untuk mengawal kawasan tersebut disebabkan kekurangan anggota dan sumber.

Misi tersebut, yang mandatnya baru sahaja dilanjutkan setahun lagi, kini mempunyai sekitar 430 anggota polis dan tentera, kebanyakannya dari Kenya, dan tambahan 600 anggota dijangka tiba tidak lama lagi. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya