GUA MUSANG: Inovasi turapan jalan Stone Mastic Asphalt (SMA) yang menggunakan campuran plastik terpakai boleh digunakan secara meluas di seluruh negara untuk mengatasi masalah jalan berlubang.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, produk campuran plastik terpakai yang dikenali sebagai SMA20-Plastic Modified Binder hasil inovasi Petronas Research Sdn. Bhd. (PRSB) sudah diluluskan ujian lapangan pada 23 April lalu.
Katanya, ketahanan produk itu terbukti apabila mampu mengatasi masalah jalan berlubang dan dapat meningkatkan daya tahan terhadap aluran atau bebanan kenderaan berat.
“Produk SMA20 diluluskan dalam sistem Road Material Approval List (RMAL) Jabatan Kerja Raya (JKR) yang terbukti boleh dijadikan bahan turapan jalan iaitu plastik yang diubah suai sebagai bitumen. Saya kira kebaikannya banyak dan yang jelas boleh mengurangkan pencemaran alam sekitar.
“Kita tahu bahan plastik itu akan terurai beratus tahun dan mencemarkan alam sekitar. Usaha menerusi inovasi SMA merupakan langkah membersihkan alam sekitar, penggunaan bahan binaan yang lebih selamat dan kukuh,” katanya kepada pemberita selepas meninjau Jalan Persekutuan FT185 di Tanah Tinggi Lojing yang menggunakan produk turapan SMA sepanjang 200 meter, semalam. – UTUSAN