Hezbollah lancar serangan dron, 4 tentera Israel maut

Hezbollah lancar serangan dron, 4 tentera Israel maut

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEL AVIV: Serangan dron di utara Israel mengorbankan sekurang-kurangnya empat anggota tentera Israel, manakala lebih 60 orang cedera, menurut pasukan penyelamat di tempat kejadian.

Walaupun tiada pengesahan rasmi mengenai jumlah kematian pada masa ini, namun pasukan penyelamat melaporkan mereka memberikan bantuan kepada lebih 60 orang yang cedera, menjadikannya antara insiden paling berdarah sejak peperangan tercetus pada Oktober lalu.

Hezbollah mendakwa bertanggungjawab atas serangan dron itu yang menyasarkan kem latihan infantri Israel di Binyamina, sebuah bandar terletak kira-kira 64 kilometer dari sempadan Lubnan.

Serangan tersebut merupakan tindak balas daripada kumpulan tersebut terhadap serangan Israel di Lubnan pada Khamis lalu, yang mengorbankan 22 orang dan mencederakan 117 yang lain, menurut Kementerian Kesihatan Lebanon.

Sementara itu, Menteri Luar Iran, Abbas Aragachi memberi amaran tiada garis merah dalam mempertahankan kepentingan negaranya.

Iran telah memaklumkan kepada Amerika Syarikat (AS), pihaknya akan bertindak balas terhadap sebarang serangan baharu Israel, menurut sumber di Teheran.

Pemakluman tersebut menyebabkan AS menghantar kira-kira 100 anggota tentera untuk mengoperasikan sistem pertahanan anti-peluru berpandu canggih di Israel bagi membantu memperkukuhkan pertahanan negara tersebut.

Sekurang-kurangnya 300 orang terbunuh akibat pengeboman Israel di kem pelarian di utara Gaza sepanjang sembilan hari yang lalu, menurut Pejabat Media Kerajaan Gaza pada Ahad.

Ia berlaku ketika Israel semakin memperhebatkan operasi ketenteraannya di kawasan tersebut, dengan mengeluarkan arahan pemindahan serta menyekat bekalan makanan.

Serangan udara baharu Israel di kem pelarian di tengah Gaza telah mengorbankan sekurang-kurangnya 14 orang, termasuk sebuah keluarga seramai lapan orang, menurut Hospital Al-Aqsa pada Ahad. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya