TEHERAN: Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei berkata, Hamas masih hidup dan akan terus wujud walaupun Ketuanya, Yahya Sinwar dibunuh dalam operasi tentera Israel di Gaza.
Khamenei mengakui kehilangan Yahya adalah sesuatu yang menyakitkan, tetapi menekankan Hamas akan tetap teguh.
Ujarnya, Yahya adalah seorang tokoh penting dalam penentangan terhadap Israel termasuk peristiwa penting pada 7 Oktober, tahun lalu, yang mencetuskan konflik berterusan di Gaza.
Khamenei mengulangi sokongan lama Iran terhadap perjuangan Palestin yang merupakan aspek utama dalam dasar luar negara sejak Revolusi Islam 1979.
Yahya mengambil alih kepemimpinan Hamas selepas kematian Ismail Haniyeh.
Pembunuhan Ismail dikaitkan dengan Israel, walaupun kerajaan Israel tidak pernah mengaku bertanggungjawab. -AFP