JAKARTA: Seorang guru sekolah rendah di Kebayoran Lama, Jakarta Selatan diburu oleh pihak polis kerana terlibat dalam kes pencabulan kanak-kanak.
Menurut Ketua Perhubungan Awam Polis Metro Jakarta Selatan, Nurma Dewi, suspek yang berusia 61 tahun itu disyaki melakukan perbuatan maksiat pada 23 Februari, tahun lalu.
“Pelaku melakukan pelecehan seksual terhadap pelajarnya,” katanya pada Selasa.
Perbuatan itu dilakukan dengan menyentuh bahagian sensitif badan murid ketika berada di sekolah rendah tersebut.
“Ketika mengajar di dalam kelas, pelajar berkenaan terus diraba dan dilayan dengan teruk,” katanya.
Kes ini terbongkar selepas mangsa yang merupakan pelajar sekolah rendah mengadu kepada ibu bapanya.
“Ketika hendak tidur malam, dia (mangsa) bercakap dengan ibunya mengenai gurunya kejam dan nakal serta sering melakukan (perbuatan lucah) di dalam kelas,” kata Nurma.
Mendengar cerita anak mereka, ibu bapa mangsa kemudian membuat laporan polis pada 24 Februari, tahun lalu dan diburu oleh pihak polis sejak itu.
Polis juga telah memeriksa tujuh saksi dan memutuskan untuk menamakan pelaku sebagai suspek.
Jika ditangkap, dia akan didakwa atas melakukan perbuatan jenayah pencabulan kanak-kanak di bawah rang undang-undang Republik Indonesia nombor 23 Tahun 2002 tentang Perlindungan Anak. -AGENSI