YOGYAKARTA: Gunung Merapi yang terletak di sempadan Jawa Tengah dan Daerah Istimewa Yogyakarta memuntahkan 21 kali aliran lava sejauh 1.5 kilometer (km) semalam, lapor Balai Penyelidikan dan Pengembangan Teknologi Kebencanaan Geologi (BPPTKG) Yogyakarta.
Ketua BPPTKG Yogyakarta, Agus Budi Santoso berkata, tinjauan yang dilakukan antara pukul 12.00 tengah malam hingga 6.00 pagi menunjukkan guguran lava menuju ke arah sungai Bebeng di barat daya.
“Sebanyak 21 kali guguran lava mengarah ke barat daya (sungai Bebeng) dengan jarak maksimum 1,500 meter,” katanya.
Selain itu, Gunung Merapi turut merekodkan 40 kali gempa susulan dengan amplitud tiga hingga 21 milimeter yang berlangsung selama 57.56 hingga 146.32 saat.
Tinjauan visual turut menunjukkan asap kawah yang bertekanan lemah dan berwarna putih dengan intensiti tipis, mencapai ketinggian 150 meter dari puncak kawah.
Keadaan cuaca di gunung berapi tersebut dilaporkan mendung dengan suhu antara 18 hingga 19 darjah Celsius, kelembapan udara 89.5 hingga 95 peratus, dan tekanan udara 874 hingga 918.3 mmHg.
Sehingga kini, BPPTKG masih mengekalkan status Gunung Merapi pada tahap tiga atau berjaga-jaga.
Pihak BPPTKG turut menggesa orang awam untuk tidak melakukan sebarang aktiviti di kawasan berisiko tinggi.
Kesan guguran lava dan awan panas dijangka memberi impak kepada sektor selatan-barat daya, meliputi Sungai Boyong sehingga jarak maksimum lima km, serta Sungai Bedog, Krasak, dan Bebeng hingga jarak maksimum tujuh km.
Orang ramai dinasihatkan untuk terus mengikuti perkembangan terkini dan mematuhi arahan daripada pihak berkuasa. -AGENSI