MANCHESTER: Jurulatih Manchester City, Pep Guardiola mengakui berasa bangga melihat anak buahnya, Rodri menerima anugerah Ballon d’Or lelaki dan pada masa sama enggan mengkritik keputusan Real Madrid yang memboikot majlis tersebut.
“Semua orang di Manchester City, termasuk peminat kami, sangat bangga dengan dia.
“Kami tidak pernah membayangkan selama ini bahawa seorang pemain (City) boleh menerima anugerah yang berprestij ini,” katanya.
Rodri membantu City meraih gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL) empat kali berturut-turut pada musim lalu dan Sepanyol menjuarai Euro 2024, menewaskan dua pemain Madrid, Vinicius Junior dan Jude Bellingham untuk anugerah tersebut.
Apabila ditanya mengenai pandangannya tentang Real yang membuat keputusan untuk memboikot majlis tersebut, Guardiola sekadar mengangkat bahu.
“Itu terpulang kepada mereka. Jika mereka ingin mengucapkan tahniah, itu baik. Jika sebaliknya, tidak mengapa. Kami di Manchester City berada di sini bukan untuk menilai apa yang dilakukan oleh kelab lain,” katanya. – AGENSI