GP Malaysia Petronas platfrom promosi Tahun Melawat Selangor

GP Malaysia Petronas platfrom promosi Tahun Melawat Selangor

EXCO Kerajaan Tempatan dan Pelancongan, Datuk Ng Suee Lim (tengah) bercakap pada sidang akhbar Kerjasama Strategik Litar Antarabangsa Petronas Sepang & Tourism Selangor Sempena Tahun Melawat Selangor 2025 di PETRONAS Sepang International Circuit di sini, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Grand Prix (GP) Motosikal Malaysia Petronas 2024 dilihat mampu menjadi platform terbaik untuk kerajaan negeri mempromosi Tahun Melawat Selangor yang akan berlangsung pada tahun depan.

Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Selangor, Datuk Ng Suee Lim berkata, sebab itu, pihaknya menjalinkan kerjasama strategik dengan Litar Antarabangsa Sepang (SIC) Petronas, bagi menarik kehadiran pelancong melalui GP Malaysia.

“Saya mahu melihat nama Selangor ditonjolkan dan lebih 200 negara akan turut serta pada GP Malaysia dan mereka ini akan tahu 2025 adalah Tahun Melawat Selangor.

“Dalam masa sama lebih 70 juta penonton akan menyaksikan perlumbaan itu secara langsung dan ini satu promosi yang baik selama tiga hari GP Malaysia diadakan,” katanya pada sidang media Kerjasama Strategik SIC Petronas dan Tourism Selangor sempena Tahun Melawat Selangor 2025 di sini, hari ini.

Turut serta pada sidang media itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SIC, Azhan Shafriman Hanif dan CEO Tourism Selangor, Azrul Shah Mohamad.

Menurut Suee Lim, pelbagai aktiviti akan dianjurkan sepanjang tiga hari GP Malaysia termasuk persembahan kebudayaan dan promosi destinasi-destinasi popular di Selangor.

“Promosi untuk tiga hari itu, sebanyak RM500,000 kita peruntukkan dan saya berasakan ia satu angka yang munasabah untuk kita menarik pelancong datang ke Selangor,” ujarnya.

Sementara itu, mengulas pula mengenai cukai hiburan kepada pemberi tiket GP Malaysia yang dilihat membebankan, beliau memberitahu, pihaknya akan cuba membawa usul pengurangan cukai hiburan itu kepada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

“Saya akan cuba bantu, tetapi untuk acara yang ada keuntungan saya berasakan tiada keperluan untuk kita berbuat demikian, melainkkan jualan tiket negatif, barulah kita bantu.

“Bagaimanapun, saya cuba sedaya upaya untuk membantu, saya tidak dapat berjanji, tetapi kita akan cuba,” tegasnya.

Bercakap pula mengenai cadangan supaya Tourism Selangor menyalurkan tajaan kepada pelumba Malaysia yang beraksi di pentas antarabangsa sebagai promosi kepada negeri Selangor, Suee Lim berkata, pihaknya bersedia menimbangkan idea tersebut dan sekiranya kos penajaan tidak membebankan, tidak mustahil usul itu boleh dijayakan.

“Saya akui mereka pergi seantero dunia, tetapi perbelanjaannya juga perlu kita ambil kira, jika tidak membebankan saya terbuka dengan cadangan ini,” tambahnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya