GISBH: 55 kanak-kanak diserahkan kepada ahli keluarga terdekat, ikut prosedur mahkamah

GISBH: 55 kanak-kanak diserahkan kepada ahli keluarga terdekat, ikut prosedur mahkamah

NANCY SHUKRI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Seramai 55 kanak-kanak yang diselamatkan menerusi Op Global membabitkan GISB Holdings Sdn. Bhd. (GISBH) telah diserahkan kepada ahli keluarga terdekat setakat hari ini. 

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, proses penyerahan kanak-kanak tersebut dibuat mengikut perintah dikeluarkan oleh mahkamah iaitu kepada ahli keluarga yang sesuai dan layak. 

Menurutnya, 55 kanak-kanak yang diserahkan itu merupakan sebahagian daripada 560 kanak-kanak yang ditempatkan di pusat perlindungan. 

“(Setakat ini) sejumlah 55 kanak-kanak sudah kita serahkan (kepada ahli keluarga terdekat) di bawah Akta Kanak-Kanak. 

“Kita perlu menjalankan ia berdasarkan perintah mahkamah (kerana) kita ambil anak itu pun melalui prosedur mahkamah, mahkamah perlu memberi kebenaran untuk kita melindungi, selepas itu untuk mengeluarkannya juga kena mohon dengan mahkamah. 

“Dan (kita) serahkan kepada orang yang layak dan sesuai, mahkamah juga menilai berdasarkan kita punya laporan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan National Conference on Ageing 2024 (NCA2024) anjuran Universiti Putra Malaysia (UPM) menerusi Institut Penyelidikan Penuaan Malaysia (MyAgeing) dengan kerjasama Dana Penduduk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFPA) di sini, hari ini. 

Program bertemakan ‘Ageing with Dignity: The Importance of Strengthening Care and Support Systems for Older Persons Worldwide’ memupuk kerjasama serta meningkatkan kesejahteraan warga emas melalui usaha kolaboratif antara kerajaan, penyelidik dan pelbagai pemegang taruh.

 Terdahulu, menerusi sesi Penerangan Menteri mengenai isu GISBH di Dewan Rakyat pada 15 Oktober, seramai 560 kanak-kanak melibatkan 283 lelaki dan 277 perempuan ditempatkan di pusat perlindungan setelah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mendapat perintah jagaan sementara daripada mahkamah bagi tempoh dua bulan mengikut peruntukan Seksyen 25(2)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Dalam pada itu, ditanya mengenai pasangan suami isteri dipercayai sukarelawan di rumah amal kendalian GISBH yang merayu empat anak mereka dikembalikan, Nancy menjelaskan, kes tersebut telah selesai dan kanak-kanak terlibat diserahkan kepada ahli keluarga pasangan berkenaan. 

“Dalam video yang mengatakan, anak dia empat orang diambil oleh JKM, JKM bukan mengambil anak orang, kerja kita adalah melindungi dan juga menyelamatkan anak-anak. 

“Kalau dalam kes ini, polis mendapati kurang bukti, kes NFA (tiada tindakan lanjut) oleh polis, dia minta kita serahkan kepada adik dia, ahli keluarga, jadi kita serahkan mengikut peraturan. 

“Lepas itu, anak itu diambil oleh keluarga mereka. Tidak termasukpun dalam 560 (kanak-kanak di rumah perlindungan). Kes itu (sebenarnya) sudah selesai. Bila video (ibu bapa) itu keluar, (kes) itu sebenarnya telah selesai,” ujarnya. 

Pada 13 Oktober lalu, media melaporkan suami isteri yang juga sukarelawan rumah amal kendalian GISBH yang diserbu pihak berkuasa dekat Sepang, merayu empat anak mereka yang masih dalam jagaan JKM dikembalikan segera. 

Sukarelawan lelaki yang mahu dikenali sebagai Haqi, 38, mengakui ketika serbuan terbabit, dia bersama isteri serta empat anak masing-masing berusia tujuh, lapan, 10 dan 11 tahun mendiami rumah amal berkenaan. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya