MEDAN: Satu gempa bumi berukuran 5.3 skala Richter menggegarkan Padangsidimpuan, Sumatera Utara pada pukul 9.18 pagi (waktu tempatan), tadi.
Menurut kenyataan rasmi Badan Meteorologi, Klimatologi, dan Geofisika (BMKG), gempa bumi tersebut berpusat di kedalaman 108 kilometer pada koordinat 1.08 darjah Lintang Utara dan 98.80 darjah Bujur Timur, dengan pusat gempa terletak di laut, sekitar 61 kilometer di barat daya Padangsidimpuan.
BMKG turut mengesahkan gempa ini tidak berpotensi menghasilkan tsunami.
Beberapa kawasan yang turut merasakan gegaran gempa tersebut termasuk Gunungsitoli, Nias Barat, Nias Selatan, Nias Utara dan Humbang Hasundutan.
Pihak berkuasa kini sedang memantau situasi untuk sebarang perkembangan lanjut. – AGENSI