Faktor kecergasan punca Sang Kenari 'rebah' di Likas

Faktor kecergasan punca Sang Kenari ‘rebah’ di Likas

PEMAIN-Pemain Kedah gagal membawa pulang mata daripada Likas.-IHSAN KDA FC
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Faktor kecergasan menjadi punca utama, Kedah Darul Aman (KDA) FC terkulai di tangan Sabah FC pada aksi Liga Super di Stadium Likas, semalam.

Sang Kenari yang masih dilanda derita susulan isu tunggakan gaji belum selesai, tidak diberi belas kasihan oleh The Rhinos yang membelasah lawannya itu 5-2.

NAFUZI ZAIN

Bagaimanapun, pengendali Kedah, Nafuzi Zain enggan mengeluh dengan persembahan pemainnya, malah memuji kesungguhan yang ditunjukkan anak-anak buahnya.

Beliau juga sedar akan kelebihan lawan selain masalah kecergasan pada akhir permainan menjejaskan peluang Sang Kenari untuk membawa pulang sekurang-kurangnya satu mata ke Alor Setar.

“Terima kasih kepada semua pemain yang menunjukkan usaha yang tinggi dengan persembahan yang baik walaupun ianya bukan keputusan yang kita inginkan kerana dibolosi dengan banyak tetapi untuk menjaringkan dua gol di Likas bukanlah perkara yang mudah.

“Kami leka pada awal permainan apabila memberikan penalti tetapi selepas itu pemain bangkit dengan persembahan yang tersusun dan mencipta beberapa peluang tetapi kita tewas apabila berlaku beberapa kesilapan mudah sepanjang permainan.

“Kita tahu Sabah akan menyerang pada 15 minit pertama dan kita melakukan kesilapan dengan memberikan penalti tetapi pemain bangkit selepas itu namun kita gagal saingi kekuatan dan kelajuan lawan selain pemain agak keletihan dan dibolosi tiga gol dengan mudah,” katanya.

Tambah Nafuzi, selepas bangkit dua kali menyamakan kedudukan namun pemainnya mula merasa keletihan dan kesempatan itu dimanfaatkan Sabah untuk menjaringkan gol.

“Apabila kami cuba mencari gol penyamaan, pemain mula hilang fokus dan konsentrasi yang menjadi punca kesilapan akibat keletihan dan kita perlu perbaiki prestasi untuk perlawanan selepas ini menentang Selangor FC di tempat sendiri,” jelasnya.

Kekalahan itu menamatkan rentetan tiga perlawanan tanpa kalah Kedah dan menyaksikan mereka kekal di tangga ke-10 dengan 13 mata selepas 13 perlawanan hasil empat kemenangan, empat seri dan lima kekalahan.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya