EON, SOLS kerjasama bawa tenaga solar untuk komuniti Orang Asli

EON, SOLS kerjasama bawa tenaga solar untuk komuniti Orang Asli

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: EON Berhad (EON) melancarkan kerjasama dengan SOLS Foundation bagi membawakan tenaga boleh diperbaharui kepada komuniti Orang Asli di Rompin, Pahang melalui pemasangan panel solar.

Ketua Pegawai Eksekutif EON, Akkbar Danial berkata, pihaknya percaya bahawa kejayaan EON berkait rapat dengan kesejahteraan masyarakat.

“Melalui inisiatif seperti ini, kami memacu perubahan positif dengan mencipta peluang baharu dan meningkatkan kualiti hidup dalam kalangan komuniti yang memerlukan,” katanya pada majlis menandatangani perjanjian di Glenmari, di sini hari ini,

Selain itu, Akkbar berkata, pemasangan panel solar dalam projek ini akan memastikan bekalan elektrik yang berterusan kepada komuniti di Kampung Binjai, Rompin.

“Langkah ini dijangka meningkatkan taraf hidup, memperbaiki usaha pendidikan, serta merangsang ekonomi tempatan,” jelasnya.

Majlis menandatangani perjanjian ini menyaksikan EON menyerahkan 33 panel solar kepada SOLS Foundation untuk dibawa dan dipasang di Kampung Binjai, Rompin, Pahang.

Projek ini adalah sebahagian daripada inisiatif berterusan EON, “Wheels of Hope 2.0”, yang bertujuan memacu pemberdayaan dan menyokong aktiviti yang dapat memajukan matlamat kelestarian.

“Kami berharap untuk terus meneroka cara baharu dalam menyokong komuniti tempatan, termasuk dengan SOLS Foundation.

“Penyerahan panel solar hari ini melengkapkan usaha kami dalam mencipta impak yang mampan. Bersama-sama, kita sedang membuat perbezaan satu panel solar pada satu masa,” tambahnya.

Projek ini dijalankan dengan kerjasama SOLS Foundation, sebuah organisasi bukan keuntungan berdaftar di Malaysia yang bertekad untuk memberi khidmat, pendidikan percuma, pembangunan diri, sokongan pekerjaan, dan akses tenaga kepada komuniti Orang Asli di kawasan pedalaman.

Inisiatif ini juga selari dengan misi EON untuk mempromosikan ekonomi kitaran, penyelesaian tenaga mampan, dan mengurangkan jejak karbon negara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN